PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong dan ketua-ketua parti menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan Persekutuan jika tiada parti memperoleh majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen pada malam hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Ini meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan secara spesifik bagaimana untuk membentuk sebuah kerajaan Persekutuan jika berlaku Parlimen gantung (hung Parliament), malah situasi tersebut belum pernah berlaku di negara ini.
Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) meraih 121 kerusi majoriti, manakala Barisan Nasional (BN) meraih 133 kerusi pada PRU13 dan 140 kerusi pada PRU12.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jika tiada mana-mana parti meraih majoriti, parti-part boleh mula berunding dengan pihak lain untuk membentuk satu gabungan politik bagi membentuk kerajaan baharu.
POLITIK
Menurut beliau, selepas berjaya dilakukan, ketua setiap parti yang bersepakat mewujudkan gabungan politik akan menghadap Agong untuk mempersembahkan kesepakatan mereka membentuk kerajaan.
“Pada pagi 20 November, selepas semua keputusan diumumkan, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi persembahkan kepada Agong keputusan pilihan raya iaitu jumlah kerusi dimenangi setiap parti yang bertanding, yang disiapkan dalam satu Buku Khas Keputusan PRU15.
“Kerajaan minoriti juga boleh dibentuk iaitu oleh parti atau gabungan yang mendapat jumlah kerusi terbanyak. Namun, kerajaan minoriti biasanya sukar bertahan untuk menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. Bila-bila ada parti yang mungkin menarik diri daripada penggabungan itu,” jelas beliau.
Namun, kata beliau, sebarang rundingan dan kerjasama antara dua parti tidak menyalahi Akta Lompat Parti.
“Akta Lompat Parti hanya merujuk kepada wakil rakyat yang telah menang dalam PRU dan bertanding sebagai calon mewakili parti politik itu. Jika selepas PRU15, mana-mana gabungan politik besar bersepakat untuk tubuh kerajaan gabungan, itu tidak salah. Parti yang lompat bersetuju tubuh kerajaan, bukan wakil rakyat yang lompat,” katanya.
Dua tahun lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad hilang sokongan sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020, selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar PH untuk membentuk Perikatan Nasional (PN), dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin meraih sokongan 114 ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Muhyiddin meletak jawatan setelah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen UMNO pada Ogos tahun lalu dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meraih sokongan majoriti ahli parlimen.
Bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman berpendapat, Agong yang akan menentukan pembentukan kerajaan jika tiada pihak meraih majoriti, namun pembentukan itu perlu disusuli dengan proses di parlimen.
KERUSI
“Agong akan menjemput ketua parti yang dapat banyak kerusi dan yakin mempunyai sokongan terbanyak untuk lantik Perdana Menteri, tetapi apabila Parlimen bersidang, Perdana Menteri itu perlu lalui usul undi tidak percaya dan jika tidak cukup sokongan, ia boleh menyebabkan PRU perlu diadakan semula.
“Sebab itu, pentingnya parti mesti meraih lebih 112 kerusi untuk tubuhkan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan, pembentukan kerajaan persekutuan tanpa majoriti bergantung kepada kebijaksanaan ketua-ketua parti.
“Ketua-ketua parti perlu berunding untuk membentuk kerajaan campuran. Kalau sukar bentuk, mereka perlu menghadap Agong sama seperti yang berlaku ketika kerajaan Muhyiddin dan Ismail Sabri dibentuk sebelum ini, itu hak dan budi bicara Agong.
“Kalau susah sangat nak bentuk kerajaan, Agong mungkin perlu isytihar darurat dan arahkan kerajaan sementara, buat PRU dalam tempoh enam bulan akan datang seperti yang dibenarkan dalam Perlembagaan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Persekutuan perlu dibentuk dalam tempoh tidak melebihi sebulan, walaupun tidak ada peruntukan tempoh ditetapkan dalam Perlembagaan.
“Kalau tidak ada keputusan untuk bentuk kerajaan dalam seminggu dua, macam mana negara nak bergerak, jangan biarkan keadaan caca marba sampai berbulan-bulan,” katanya.- UTUSAN










