SEMPORNA: Bekas anggota tentera, Karil Pg Kuraini tampil sebagai calon parti underdog untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 19 November ini.
Karil, 76, mewakili Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) antara tujuh calon yang bersaing dengan enam calon lain.
Mereka ialah Mohd. Hassan Abu Bakar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Jamil Hamzah mewakili Parti Warisan (Warisan), Nazmawati Walli daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zulfadzli Shi Ahmad sebagai calon Bebas (Perahu), Abdul Aziz Mohd. Ibno (Barisan Nasional) dan Arastam Pandorog daripada Pakatan Harapan (PH).
Walaupun bersaing di kawasan yang dikuasai Warisan namun, Karil tidak gentar bagi memberi saingan sengit di Bugaya.
“Saya tidak takut (bertanding) kecuali hantu bangkit.
“Sebenarnya saya tidak berniat untuk berpolitik tapi, demi rakyat Bugaya, saya mahu membawa perubahan,” katanya.
Zulfadzli, 33, atau popular dipanggil Jufazli akan menggunakan platform media sosial untuk berkempen mendekati anak-anak muda.
Jufazli mahu membawa perubahan membina lebih banyaj kemudahan asas di kawasan itu.
Bagi satu-satunya calon wanita di DUN Bugaya, Nazmawati, 43, berkata, banyak isu yang sering dibangkitkan di kawasan tersebut termasuk isu kewarganegaraan dan isu sosial seperti masalah budak-budak hidu gam.
Nazmawati berkata, sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat, beliau akan membawa pembangunan ekonomi di Bugaya selain memperjuangkan hak kesamarataan wanita.- UTUSAN










