Prestasi bola sepak Kedah merudum bukan sebab gaji tertunggak

Prestasi bola sepak Kedah merudum bukan sebab gaji tertunggak – Exco

MOHD. FIRDAUS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dimaklumkan bahawa prestasi pasukan bola sepak Kedah yang merudum pada musim ini bukan disebabkan masalah pemain mogok kerana tunggakan gaji ketika setiap kali perlawanan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, berdasarkan maklumat diterima ketika ini, Kedah Darul AmanFC (KDA FC) sudah melunaskan semua gaji pemain.  

 “Kita maklum bahawa prestasi pasukan KDA FC pada musim ini agak menurun berdasarkan banyak faktor sebenarnya. Berkenaan prestasi pemain ini ia dikaitkan dengan isu tunggakan gaji, ini sebab tak bayar gajilah ni sebab itu pemain mogok?

 “Saya ingin katakan di sini bahawa sehingga semalam, maklumat yang saya terima untuk musim ini tidak ada satu bulan pun ada gaji (pemain) tertunggak,” katanya dalam Mesyuarat Ketiga DUN di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

 Mohd. Firdaus (Bersatu-Kuah) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Mohd. Asmirul Anuar Aris (Amanah-Kubang Rotan) yang bertanyakan tentang faktor kegagalan pasukan Kedah itu dalam Liga Malaysia baru-baru ini.

 Menjelaskan lanjut, kata Mohd. Firdaus, faktor kejurulatihan juga dikenal pasti antara penyebab pasukan berkenaan gagal menyerlah dalam perlawanan musim ini termasuk Liga Super selain masalah fasiliti. 

 “Berdasarkan penilaian semasa prestasi pasukan, kerajaan negeri mendapati perlunya ada perubahan kepada barisan kejurulatihan bagi memberi nafas baharu memandangkan pengemudi yang sama bersama pasukan KDA FC sejak empat tahun lepas.

 “Jurulatih berkenaan sudah letak jawatan dan sekarang ada pemangku. Bagi jangka masa panjang kita tubuh jawatankuasa khas mengesan bakat baharu untuk diserap masuk pemain muda kelak,” katanya.

 Menyentuh tentang isu tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang digembar-gemburkan sebelum ini, katanya, itu adalah daripada pengurusan terdahulu yang kini dalam proses penyelesaian.

 “Berkaitan LHDN ini sebenarnya adalah daripada pengurusan lama, itu yang kita bawa untuk kita selesaikan tetapi sekarang ini tidak ada sebarang tunggakan gaji mahupun LHDN bagi pengurusan baharu,” jelasnya.

 Katanya, bagi jangka masa panjang, KDA FC juga menubuhkan jawatankuasa teknikal dan ‘scouting’ untuk mengesan bakat muda bagi peringkat umur 14-15 tahun untuk diserap masuk ke pasukan akademi bawah 17 tahun SSN Kedah-KDA FC. 

 “Pemain muda yang berbakat memudahkan kelab menyediakan kumpulan pelapis pemain untuk diketengahkan kepada pasukan simpanan dan pasukan utama.

 “Menyediakan pusat latihan KDA FC dengan kemudahan lebih canggih dan bertaraf antarabangsa untuk meningkatkan kualiti latihan seterusnya menyumbang kepada peningkatan mutu permainan individu yang akan menghasilkan pemain berbakat di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya