Permohonan semakan keputusan bela diri Bung, isteri 9 Disember - Utusan Malaysia

Permohonan semakan keputusan bela diri Bung, isteri 9 Disember

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izzete.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 9 Disember ini untuk memutuskan bantahan awal  dikemukakan pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan keputusan ke atas Datuk Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Zizie Izette Abdul Samad untuk membela diri atas kes rasuah.

Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya memfailkan semakan tersebut selepas Mahkamah Sesyen membuat keputusan itu pada  2 September lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.

Pada prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How manakala pasangan itu diwakili peguam M. Athimulan dan Datuk K. Kumaraendran. Bung Moktar dan Zizie tidak hadir pada prosiding hari ini.

Bung Moktar dan Zizie Izette selaku pemohon memfailkan permohonan semakan secara berasingan pada 2 September lalu dan antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan mereka perlu membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.

Dalam permohonan itu, pasangan itu memohon perintah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan yang disampaikan oleh Mahkamah Sesyen.

TERKHILAF

Kedua-dua pemohon berkata, hakim yang mendengar pembicaraan mereka terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Pada 2 September lalu, Hakim Rozina Ayob memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pasangan suami isteri itu dijadual memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoal mereka semasa pemeriksaan balas.

Pada 23 September lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan pasangan suami isteri itu menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya didengar di Mahkamah Sesyen sementara menunggu permohonan semakan jenayah diputuskan.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.