KUALA TERENGGANU: Seorang penyokong bola sepak mengaku tidak bersalah atas perbuatan khianat dalam kekecohan selepas aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menemukan Terengganu FC (TFC) dan Selangor, Isnin lalu.
Mohamad Hadi Wahab, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga seorang penjual buah didakwa membaling objek keras ke arah bas yang penyokong dan pegawai Selangor sehingga mengalami kerugian RM15,000.
Kesalahan itu dilakukan Mohamad Hadi di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, pukul 12.05 tengah malam pada Selasa selepas tamat perlawanan TFC dan Selangor.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dan menetapkan 26 Disember ini sebagai tarikh semula sebutan kes.
Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam. –UTUSAN