Penduduk puas hati pembangunan Kepala Batas

Penduduk puas hati pembangunan Kepala Batas

(Dari kiri) SITI FATIMAH ABU BAKAR, MUHAMMAD KHARUL NIZAM DAN ZAITON ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: “Sudah lama mak cik tunggu kawasan ini membangun. Alhamdulillah, tercapai juga hasrat ini. Semoga lebih banyak projek pembangunan dibuat di Kepala Batas selepas ini.”

Itu kata seorang warga emas, Siti Fatimah Bakar, 63, anak jati Kepala Batas yang gembira dengan tahap pembangunan dinikmati di kawasan itu pada masa ini.

Siti Fatimah yang tinggal di Pinang Tunggal di sini berkata, penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican adalah seorang pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan penduduk dalam kawasan Parlimen itu.

“Insya-Allah, semua projek pembangunan di Kepala Batas memberi manfaat yang sangat banyak kepada penduduk setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Siti Fatimah ditemui semasa majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di tapak pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk setempat, Muhammad Kharul Nizam Mahad, 33, turut sependapat dengan Siti Fatimah mengenai projek-projek pembangunan di situ.

“Walaupun bukan berasal dari sini, saya telah 13 tahun menetap di Kepala Batas dan sepanjang tempoh itu, banyak projek pembangunan yang saya saksikan,” katanya.

Sementara itu, bagi Zaiton Ismail, pembangunan projek seperti perumahan rakyat itu sangat bermanfaat kepada penduduk setempat khususnya.

“Saya harap lebih banyak perumahan dibangunkan selepas di sini. Selain membolehkan golongan bawahan seperti B40 memiliki rumah sendiri, projek ini juga membolehkan bandar Kepala Batas ini membangun dengan lebih pesat di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN