Pendakwaan rayu keputusan bebas Muhammad Shafee -

Pendakwaan rayu keputusan bebas Muhammad Shafee

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram RM9.5 juta membabitkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskannya tanpa memanggilnya membela diri, Jumaat lalu.

Perkara tersebut disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz yang turut memaklumkan media bahawa notis rayuan tersebut difailkan secara dalam talian kira-kira pukul 4.01 petang tadi.

Pada 28 Oktober lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan untuk tidak memanggil Muhammad Shafee untuk membela diri atas empat pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang RM9.5 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah hasil daripada aktiviti haram.

Muhammad Shafee sebelum ini didakwa atas dua tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Muhammad Shafee didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Bagi pertuduhan ini, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN