Pelajar maut, rakan cedera motosikal bertembung lori

Pelajar maut, rakan cedera motosikal bertembung lori

MANGSA dibawa oleh ambulans Pasukan BSYJM ke Hospital Daerah Sik setelah terlibat kemalangan di Simpang Tiga Gajah Puteh, Mukim Jeneri di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang pelajar maut apabila motosikal yang diboncengnya berlanggar dengan sebuah lori dalam kemalangan di Simpang Tiga Gajah Puteh, Mukim Jeneri, di sini pada pukul 7.45 malam, semalam.

Mangsa, Muhammad Naufal Muhammad Lutfi disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Daerah Sik manakala rakannya, Muhammad Alif Ikmal Abdul Razak yang menunggang motosikal itu cedera di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kemalangan membabitkan kedua-dua pelajar berusia 15 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda C100 dengan lori dipandu lelaki berusia 36 tahun.

Katanya, lori tersebut datang dari arah Pendang menghala ke Sungai Petani manakala motosikal terbabit datang dari arah Dewan Teratai di Gajah Puteh menghala ke Kampung Betong.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu lori tersebut nampak kedua-dua mangsa yang sedang menunggang motosikal dan membunyikan hon beberapa kali sebelum mereka memberhentikan motosikal.

“Malangnya, tiba-tiba mangsa membelok ke kanan jalan menyebabkan pemandu lori tidak sempat menekan brek dan mengelak, lalu terlanggar motosikal mangsa di bahagian sebelah kirinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Irsyadiah, Pondok Ampang di Jeneri, di sini tercampak dan mengalami kecederaan.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke hospital oleh ambulan Pasukan Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) untuk mendapatkan rawatan segera

Namun, mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kerana kecederaan parah di bahagian kepala, sementara rakannya mengalami luka di lutut sebelah kanan, calar di ibu jari kaki sebelah kanan serta sakit-sakit badan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital terbabit untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya