PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan menggagalkan usaha kerajaan selagi dasar-dasar dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermanfaat untuk seluruh rakyat negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, meskipun Pejuang gagal memenangi satu kerusi Parlimen pun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ia bukan bermakna partinya tidak akan menyokong rancangan dirangka kerajaan.
“Kita jangan sama sekali sabotaj kerajaan. Kalau masih sabotaj, akhirnya negara kita yang parah dan rakyat merana. Apa yang kerajaan buat baik untuk rakyat kena sokong, apa yang tidak baik maka akan lawan habis-habisan.
“Selain itu, walaupun kami tewas teruk dalam pilihan raya, Pejuang akan meneruskan perjuangan yang dibawa selama ini. Kami akan memainkan peranan sebagai pemerhati dan semak serta imbang terhadap kerajaan walaupun suara kami tiada di Parlimen.
“Saya yakin suara kami akan terus didengari melalui media-media sosial. Kami akan melancarkan kempen di media sosial secara besar-besaran,” katanya ketika dihubungi semalam.
PRU15 menyaksikan Pejuang tewas di kesemua 120 kerusi Parlimen ditandingi, sekali gus menyebabkan impian parti itu membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu tidak kesampaian.
Khairuddin yang bertanding di Parlimen Titiwangsa tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memperoleh majoriti 4,632 undi.
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad (4,566 undi) dan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (3,144 undi) gagal mempertahan kerusi masing-masing di Langkawi dan Jerlun, malah kedua-dua calon hilang wang deposit setelah memperoleh jumlah undi sangat rendah.
Khairuddin menafikan keputusan pilihan raya yang tidak memihak Pejuang menunjukkan rakyat negara ini menolak parti berkenaan mewakili suara mereka di Parlimen.
Jelasnya, kekalahan Pejuang disebabkan jenama dan logo parti yang masih belum dikenali ramai, bagaimanapun, beliau tetap berterima kasih kepada lebih 130,000 pengundi yang telah memilih parti itu.
“Kami tewas secara berinsip dan bermaruah. Ramai kata Pejuang terlalu berimpian bertanding sehingga 120 kerusi, tetapi bagi saya, ini merupakan tindakan tepat kerana mesej yang kita mahu sampaikan pada rakyat ialah kami tidak main-main.
“Kami komited menang pilihan raya dan menubuhkan kerajaan yang cekap dan amanah. Kena ingat, dalam 120 kerusi itu, Pejuang hanya bertanding lebih 40 kerusi sahaja dan selebihnya adalah parti-parti komponen,” katanya. – UTUSAN










