Pegawai kanan Aker Engineering mohon batal pertuduhan

Pegawai kanan Aker Engineering mohon batal pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan Aker Engineering Malaysia mengemukakan permohonan agar Mahkamah Tinggi di sini membatalkan pertuduhan masing-masing yang dihujahkan sebagai cacat dan tidak berasas.

Timbalan Presiden Kanan Kumpulan Aker Engineering Malaysia, Ahmad Hatta Kamaruzzaman, 50, didakwa mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung dalam dokumen syarikat.

Ahmad Hatta yang sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan atas tuduhan memperdaya dan menipu, memohon untuk membatalkan pertuduhan baharu yang dihadapinya di bawah Akta Syarikat.

Sementara itu, Pengarah Aker Engineering Malaysia Sdn. Bhd., Mohd. Yusof Ab. Rahman, 55, pula didakwa menggunakan dokumen palsu bagi pembaharuan lesen daripada sebuah syarikat minyak dan gas pada 2018.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili kedua-dua pemohon berhujah, pertuduhan terhadap Ahmad Hatta di bawah Akta Syarikat adalah tidak berasas dan dibuat atas niat jahat (mala fide).

Hujah peguam bela, anak guamnya tidak pernah mengelirukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala pendakwaan terhadap Ahmad Hatta bercanggah dengan polisi yang dikeluarkan oleh agensi itu.

Amer Hamzah berhujah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai urusan menyiasat perkara di bawah ruang lingkup SSM kerana agensi itu tidak kompeten atau mempunyai kelayakan berhubung Akta Syarikat.

Sementara itu, Amer Hamzah turut menghujahkan SPRM telah menyalahgunakan kuasa dengan mendakwa seorang lagi anak guamnya iaitu Mohd. Yusof ke mahkamah walhal pertuduhan terhadapnya cacat, tidak berasas dan berniat jahat.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dari SPRM pula berhujah, pertuduhan yang dikenakan terhadap kedua-duanya jelas dan tidak mengelirukan dan perlu dibuktikan menerusi perbicaraan di mahkamah melalui keterangan saksi-saksi.

Beliau menyatakan, hujah pembelaan bahawa pertuduhan terhadap Ahmad Hatta melanggar garis panduan tidak benar kerana tertuduh perlu mengemukakan dokumen tertentu kepada SSM.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan 23 Disember ini untuk keputusan.

Mengikut pertuduhan baharu, Ahmad Hatta, 50, didakwa mengelirukan Pendaftar Syarikat dengan mengemukakan pernyataan palsu dalam dokumen yang dikehendaki diserah simpan menurut Seksyen 68 Akta Syarikat 2016.

Pernyataan palsu itu merupakan butiran material yang terkandung dalam `Annual Return of Company Having Share Capital Aker Engineering Malaysia Sdn. Bhd.’ bertarikh 19 Mei 2017.

Ahmad Hatta didakwa melakukan kesalahan itu pada Jun 2017 di SSM, Menara SSM@Sentral, No 7 Jalan Stesen Sentral 5, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd. Yusof, 55, melalui kakitangan Aker Engineering, Wan Suet Yin, didakwa menggunakan dokumen palsu sama, yang dilampirkan sebagai dokumen sokongan.

Dokumen itu menyatakan tertuduh bukan pemegang amanah bagi pegangan saham dalam Aker Engineering Malaysia bagi permohonan pembaharuan lesen ‘Standardised Work & Equipment Categories (SWEC) melalui Enterprise Buyer Portal.

Tertuduh adalah pemegang amanah Aker Engineering Malaysia Limited untuk pegangan saham Aker Engineering Malaysia Sdn. Bhd.

Mohd. Yusof melakukan kesalahan itu di Tingkat 17, Tower 1, Menara Berkembar Petronas pada 26 April 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya