Pas nafi bakal guna kedudukan terbesar tekan Sabah, Sarawak

Pas nafi bakal guna kedudukan terbesar tekan Sabah, Sarawak

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menafikan dakwaan bahawa parti itu akan menggunakan kedudukan kerusi yang lebih banyak dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak.

Pihaknya turut memberi jaminan tidak akan menekan Sarawak dan Sabah yang rakyatnya kini menjalani kehidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ yang mana seseorang bukan Islam itu tidak boleh dipaksa menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri.

Sehubungan itu, katanya, parti itu memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan-rakan kongsi dalam kerajaan meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti-parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

“Perkara ini dibuktikan semasa penyertaan Pas dalam Kerajaan Persekutuan selama 31 bulan sebelum ini di mana Pas sentiasa akur kepada segala keputusan bersama sama ada di dalam Jemaah Kabinet mahupun di peringkat kementerian dan agensi kerajaan.

“Pas sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, adat resam dan agama serta mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan jaminan Perlembagaan Persekutuan. 

“Pas membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh Pas di Kelantan lebih dari 30 tahun,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Terdahulu, media melaporkan, bekas pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) bimbang mengenai kerjasama dengan Pas melalui gabungan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Lily Yong berkata, sentimen negatif tentang kerjasama dengan Pas sangat kuat dalam lapangan.

“Di Sarawak, selama lebih seratus tahun, kita mempunyai penghidupan yang harmoni, berbilang kaum dan agama. Kita tidak seharusnya menjejaskan perkara ini.

“Walaupun tiada apa-apa yang dimuktamadkan buat masa ini, jika formula untuk bekerjasama dengan Pas jadi kenyataan, saya tidak boleh bayangkan Sarawak akan meniadi seperti apa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, pemimpin-pemimpin dan ahli Pas terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besarnya para profesional dalam pelbagai bidang. 

“Dengan demikian mereka akan menunaikan tanggungjawab secara profesional juga apabila diberikan kedudukan dan peranan di dalam kerajaan dan agensinya,” jelasnya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya