Operasi 'pemutihan' tanah haram perlu berterusan - PPNP - Utusan Malaysia

Operasi ‘pemutihan’ tanah haram perlu berterusan – PPNP

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) menyokong usaha kerajaan negeri yang terus memberikan tumpuan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil kerajaan negeri menerusi pemantauan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, operasi ‘pemutihan’ tanah-tanah haram di seluruh negeri ini perlu dilakukan secara berterusan bertujuan memacu pembangunan ekonomi secara seimbang.

Katanya, isu penerokaan tanah secara haram di negeri ini mengakibatkan kerajaan negeri tidak mendapat hasil yang sewajarnya untuk digunakan meningkatkan ekonomi domestik.

“Operasi dilakukan bukan untuk menganiaya sesiapa sebaliknya mencari penyelesaian supaya hasil negeri tidak lolos begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya hari ini berkata, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang ditubuhkan pada 15 Oktober 2019 kini memberikan tumpuan berterusan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil kerajaan negeri.

Sebagai contoh, katanya, operasi penguatkuasaan perundangan tanah di Kampung Pamah Lebar, Daerah Raub melibatkan kawasan seluas 80.34 hektar berjaya mengekang kerugian hasil kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM3.15 juta.

Menurut Wan Rosdy lagi, operasi penguatkuasaan di Kampung Kundang, Pekan yang melibatkan keluasan tanah seluas 202 hektar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) pula berjaya mengekang ketirisan kutipan hasil kerajaan negeri yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Zuhairi berkata, kerajaan negeri juga perlu berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi bagi ‘menghalalkan’ tanah haram yang diteroka di seluruh negeri dengan menawarkan kepada pihak yang layak dan berminat.

“Apa yang perlu dilakukan kerajaan Pahang adalah meminta pihak yang memohon semula tanah terlibat supaya menjelaskan premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah, membayar cukai bagi mengutip hasil tahunan.

“Langkah itu perlu demi memastikan situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai bukan saja dalam menangani penceroboh tanah, malah usaha kearah menjana pendapatan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, jika tanah diteroka untuk pertanian, kerajaan tidak semestinya perlu memusnahkan tanaman yang telah berhasil.

“Itu tidak memberi apa-apa manfaat, sebaliknya merugikan lagi kerajaan kerana perlu membelanjakan kos yang besar untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tanah diceroboh. Sedangkan lebih baik dengan menawarkan kepada pemain industri pertanian untuk membantu kerajaan memungut hasil dari isu yang telah pun berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.