KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil untuk keluar daripada kelembapan ekonomi amat mencabar dijangka dalam suku pertama tahun depan.
Bercakap dengan para editor media, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menerusi manifestonya menjanjikan penyelesaian isu ekonomi dengan mengusahakan strategi baharu untuk menggandakan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).
“Ini bagi menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelabur. Bila tidak ada kestabilan politik di mana mereka (pelabur) mahu letakkan pelaburan di negara ini? BN juga bertekad meneroka peluang-peluang pelaburan dan perniagaan baharu.
“Ini bukan semata-mata untuk manfaat golongan pelabur (asing) dan korporat sahaja tetapi juga untuk ahli-ahli perniagaan kita (tempatan).
“Sebab itu tawaran dalam manifesto BN dinamakan PADU (Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia) ini akan menjadi game changer atau perubahan membawa Malaysia keluar daripada kelembapan ekonomi.
“Ini tawaran baharu yang segar daripada BN kepada rakyat jika BN memenangi mandat pilihan raya umum 19 November ini,” kata beliau di Menara Dato’ Onnzuldi sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, kebolehpercayaan menjadi teras BN untuk meraih kembali mandat rakyat yang antaranya BN jika dipilih membentuk kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan kesihatan awam.
“Di negara-negara maju, lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan untuk kesihatan awam.
DOKTOR PAKAR
“Oleh itu kita (BN) akan meningkatkan perbelanjaan kesihatan dari RM36 bilion (sedia ada) ke RM77 bilion. Kita akan hasilkan lebih banyak doktor pakar, demikian juga teknologi dalam perubatan bio akan dipertingkatkan. Di negara-negara yang ada kepakaran perubatan dapat meningkatkan usia warga mereka,” katanya.
Kata beliau: “Kita juga tidak mahu hilang brain drain (individu berkemahiran tinggi) kalangan doktor yang berhijrah ke hospital swasta. Ada doktor berpendapatan cuma RM3,000 sebulan (di hospital kerajaan) tetapi ditawarkan RM120,000 sebulan di hospital swasta.”
Kata beliau, usaha meningkatkan pendigitalan pendidikan secara besar-besaran turut menjadi keutamaan BN.
“Sistem persekolahan tanpa buku teks akan diperkenalkan secara berperingkat. Kita juga akan memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40. Dalam kunjungan saya ke Sungai Besar semalam (kelmarin), ada kumpulan guru M40 turut meminta mereka diberi komputer riba ini tanpa terhad B40 sahaja,” katanya.
BN juga kata Ahmad Zahid, bercadang memisahkan kuasa pendakwaan daripada Peguam Negara.
“Ini untuk memastikan pengimbangan kuasa dapat diwujudkan dalam mencapai keadilan buat semua,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian mengenai isu geopolitik di Laut China Selatan terutama penguasaan China di kawasan strategik yang kaya dengan simpanan minyak dan gas.
“Selain menjadi laluan perdagangan antarabangsa, dari segi keselamatan kita akan pertingkatkan di lautan itu.
PADU, kata beliau, adalah pelan serius dan rasional serta mempunyai sasaran yang jelas demi kemaslahatan semua.
“BN mahu mewujudkan sebuah kestabilan politik dengan membentuk kerajaan yang kuat serta menguruskan Malaysia menjadi sejahtera dan makmur,” katanya.- UTUSAN










