Muhammad Fawwaz harap PM tak 'pinggirkan' Permatang Pauh

Muhammad Fawwaz harap PM tak ‘pinggirkan’ Permatang Pauh

MUHAMMAD FAWWAZ Mat Jan (kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis Kenduri Rakyat bagi meraikan kemenangan PN di Permatang Pauh di Kubang Semang, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ‘meminggirkan’ kawasan Parlimen itu yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, harapan itu dinyatakan selari dengan prinsip keadilan yang diperjuangkan Anwar selama ini selain hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk melihat kesejahteraan dalam kalangan rakyat.

“Semua sedia maklum Permatang Pauh merupakan (kawasan) legasi beliau (Anwar dan keluarga). Jadi, mudah-mudahan, Permatang Pauh juga akan menjadi satu tempat yang mendapat perhatian beliau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri program Kenduri Rakyat bagi meraikan kemenangan PN di Permatang Pauh yang turut dihadiri oleh ribuan penyokong Pas dan PN selain penduduk setempat di Kubang Semang, di sini.

Muhammad Fawwaz melakar kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas menumbangkan legasi Anwar di Parlimen Permatang Pauh iaitu anaknya, Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 5,272 undi apabila meraih 37,638 undi berbanding Nurul Izzah yang juga penyandang kerusi tersebut dengan 32,366 undi.

Mengulas mengenai kejayaan luar biasa itu katanya, ia mungkin berlaku disebabkan pengundi di Permatang Pauh yang inginkan perubahan.

“Insya-Allah, kita akan cuba laksanakan pendekatan seperti di Kelantan (pentadbiran kerajaan Pas Kelantan) di Permatang Pauh ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap pendekatan tersebut diterima baik termasuk dalam kalangan penduduk bukan beragama Islam di kawasan Parlimen berkenaan yang sebelum ini dimomokkan dengan dakwaan akan terpinggir jika Pas berkuasa.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda PN negeri percaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang yang dijadual sebelum pertengahan tahun depan akan menyaksikan banyak saingan melibatkan satu lawan satu memandangkan BN kini memutuskan untuk bekerjasama dengan PH.

“Jadi, saya menjangkakan (PRN di Pulau Pinang) akan sengit. Tapi, nak katakan PN berada dalam suasana selesa saya tak berani. Nak sebut BN dengan PH selesa pun saya tak pasti. Akan jadi 50-50 (seimbang). Bergantung kepada kempen dan gerak kerja juga,” ujar beliau. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya