Mohd. Zuki dahului senarai 212 penerima darjah kebesaran, pingat

Mohd. Zuki dahului senarai 212 penerima darjah kebesaran, pingat Perak

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mendahului senarai 212 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini apabila dikurniakan Darjah Dato’ Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja,  Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan pada satu tarikh yang akan diperkenankan oleh Sultan Perak.

Sempena sambutan keputeraan tahun ini, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, sempena hari keputeraan tahun ini, Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Seramai 15 orang dikurniakan Darjah Dato Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, S M Komathy Suppiah; Pesuruhjaya Tinggi Kementerian Luar, Zakri Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Anis Rizana Mohd. Zainudin dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Lain-lain penerima ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Perak, Shamshuzaman Sulaiman; Pakar Perunding Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr. Ker Hong Bee; Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu Jabatan Kerja Raya, Zulkipli Nasri; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Perak, Ab. Rahman Thobroni Mohd. Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal, Mubarak Ali Gulam Rasul.

Lima lagi penerima ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub; pakar perunding bedah kanan dan Ketua Jabatan Bedah Kardiothorasik Institut Jantung Negara, Dr. Alwi Mohamed Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Sunway, Dr. Lee Fuh Yen; Presiden Selangor dan Federal Territory Eurasian Association, Sheila Eleanor De Costa dan Datin Paduka Prof. Dr. Mehrun Siraj dari Universiti Malaya.

Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada lima penerima.

Mereka ialah Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Abd. Halim Shaari; Penasihat Pertahanan ATM, Brig. Jen. Safwan @Asri Ismail; Komander Jurutera Medan Barat ATM, Mejar Jeneral Abdul Hamid Mohd. Isa; Pengarah Kesihatan – MATM BPK Markas Tentera Darat Malaysia, Brig. Jen. Mohd. Ghazalli Mohd. Taha dan Ketua Cawangan Khas PDRM Perak, SAC Shazeli Kahar.

Seramai tujuh orang dikurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 23 orang menerima  Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 16 menerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 45 menerima  Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 47 menerima  Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 41 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 10 menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP)’

“Secara keseluruhannya, jumlah penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak yang telah mendapat perkenan Sultan Perak untuk dikurniakan pada tahun ini adalah berjumlah 212 orang penerima,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak pada tahun ini adalah agak terhad dan hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja yang telah diperkenankan oleh Sultan Perak untuk dikurniakan darjah kebesaran dan pingat.

Mohd Zahidi  berkata, rakyat diseru untuk bersama-sama meraikan dan menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan majlis kesyukuran iaitu bacaan surah Yassin, tahlil dan doa selamat yang akan diadakan di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada waktu Solat Jumaat hari ini.

“Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid-masjid daerah di seluruh negeri Perak dengan diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN