Mohd. Ridhwan tak serang peribadi lawan

Mohd. Ridhwan tak serang peribadi lawan

MOHD. RIDHWAN Mohd. Ali (kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika menyantuni para pengundi di sekitar kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Berkempen secara santai tanpa menyerang peribadi lawan menjadi fokus utama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam itu, beliau menolak sekeras-kerasnya kaedah berkempen menyerang lawan hingga mewujudkan politik kebencian yang sinonim menjadi amalan pada setiap pilihan raya.

Beliau berkata, senario politik hari ini tidak sama seperti dahulu kerana pemikiran pengundi sudah berubah dan tidak suka melihat seseorang calon itu mewujudkan elemen kebencian.

“Politik kebencian ini sebenarnya boleh mengundang ramai pihak mengecam kita. Saya lebih suka berkempen secara santai dan harmoni tanpa menyerang peribadi tiga calon lain yang bertanding di Hang Tuah Jaya.

“Dalam kempen yang saya pergi, lebih fokus membawa misi dan visi apa yang akan saya lakukan jika diberi mandat oleh pengundi di Hang Tuah Jaya.

“Dalam kempen, saya lebih suka memberi fokus soal kebajikan penduduk dan membangunkan taraf ekonomi mereka kerana tema BN, ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ adalah fokus utama saya menarik pengundi di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada PRU15, Mohd. Ridhwan berdepan saingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Adam Adli Abd. Halim; calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azrudin Md. Idris dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.

Mengulas lanjut, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya itu berkata, selain memberi fokus memperkasakan ekonomi rakyat, perkara paling utama akan diberi tumpuan adalah menyelesaikan pelbagai isu berkaitan infrastruktur.

Jelasnya, banyak projek infrastruktur tidak dapat dilaksanakan kerana kelewatan peruntukan daripada kerajaan Pusat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jika saya diberi mandat oleh rakyat di Parlimen ini, saya berjanji akan menyelesaikan masalah infrastruktur dengan kadar segera. Masalah banjir kilat yang kerap berlaku terutama di Ayer Keroh, Bukit Katil dan beberapa kawasan lain juga menjadi visi dan misi, jika dipilih menjadi wakil rakyat di sini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya