Mohd. Ridhwan berazam rampas semula Hang Tuah Jaya

Mohd. Ridhwan berazam rampas semula Hang Tuah Jaya

MOHD. RIDHWAN Mohd. Ali menyantuni para pengundi berbilang kaum dalam siri kempen di Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA yang mustahil untuk calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali membuat kejutan merampas kembali kerusi yang terlepas selama dua penggal kepada Pakatan Harapan (PH).

Walaupun kali pertama bertanding, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya itu dilihat langsung tidak berasa janggal ketika mendekati pengundi ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Siapa pun tidak menjangka, anak sulung kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam itu dipilih mewakili BN.

Apabila namanya diumumkan sebagai calon di Hang Tuah Jaya oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, nyata dalam kalangan masyarakat di Parlimen berkenaan melahirkan rasa lega dan yakin, beliau mampu membuat kejutan merampas kembali kerusi tersebut.

Rata-rata masyarakat mahukan Mohd. Ridhwan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, namun tidak disenaraikan.

Selepas sesi penamaan calon di Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka 5 November lalu, orang ramai khususnya akar umbi UMNO berasa lega, biarpun saingan empat penjuru perlu diharungi.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Mohd. Ridhwan menzahirkan keyakinan bahawa track record BN selama 62 tahun memerintah negara bakal membantunya menang di kerusi berkenaan.

“Saya sendiri terkejut apabila dipilih sebagai calon. Saya tidak ada masalah kerana BN sebuah parti yang diketahui mempunyai track record sepanjang 62 tahun memerintah negara sejak kemerdekaan.

“Apabila dipilih saya berazam untuk merampas kembali Hang Tuah Jaya dan tidak mustahil pengundi di sini akan memilih BN semula,” katanya.

Mohd. Ridhwan ditentang calon PH, Adam Adli Abd. Halim, 33; calon Gerakan Tanah Air (GTA), Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, 40, dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azrudin Md. Idris, 41. – UTUSAN

CALON BN PARLIMEN HANG TUAH JAYA
Mohd. Ridhwan
Mohd. Ali
Umur: 36 tahun
Tempat lahir:
Bukit Katil, Melaka
Pendidikan:
Sarjana Pentadbiran Perniagaan, UiTM Melaka
Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan elektronik (Kepujian), Universiti Auckland, New Zealand
Kerjaya:
Ahli Dewan Negara, 2022
Pengerusi Penyelaras Japerun Bukit Katil, 2020-2022
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka, 2020-2022
Chief Resilience Officer (CRO) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 2017-2018
Jurutera Operasi & Penyelenggaraan TNB, 2013-2014
Jurutera Elektrik Malaysia Mining Corporation Oil & Gas Sdn. Bhd., 2011-2013
Penglibatan politik:
Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya
Jawatankuasa Biro Latihan & Perkaderan UMNO
Jawatankuasa Biro Keahlian & Daftar Pemilih UMNO
Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Melaka
Penglibatan sosial:
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Belia Sedunia (WYF)
Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI)
Ahli Majlis Persekutuan Pengakap Malaysia
Presiden Active Nation Malaysia
Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya