MCA tidak tinggalkan UMNO, BN -Ka Siong

MCA tidak tinggalkan UMNO, BN -Ka Siong

WEE KA SIONG mendengar penerangan semasa melawat SJKC Foon Yew Masai di Bandar Seri Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: MCA tidak pernah berhasrat dan tidak akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) walaupun mengalami kekalahan seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memberikan jaminan bahawa parti itu akan kekal dengan semangat setia kawan bersama-sama UMNO dan MIC dalam berdepan apa sahaja kemungkinan.

Katanya, perkara itu telah dibuktikan apabila BN menjadi pembangkang buat pertama kali dalam sejarah negara selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH), empat tahun lalu.

“Dakwaan MCA mahu keluar daripada BN (selepas PRU14) itu tidak benar, boleh semak rekod, tetapi semasa sesi muhasabah bagaimana hendak perkukuh jentera dan struktur BN memang pernah dibincangkan, khususnya ketika kita membuat sesi ‘soul searching’.

“Tetapi semasa jadi pembangkang, kita masih tetap bersama BN, berentap dan juga disindir bersama-sama namun semangat setia kawan bersama UMNO tetap teguh.

“Selaku Presiden MCA, saya beri jaminan bahawa sebagai antara parti pengasas BN, kita tidak akan lakukan sesuatu yang boleh menjahanamkannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew Masai, di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Tambah Ka Siong, naratif perjuangan dibawakan BN yang berdasarkan kepelbagaian kaum dan perpaduan nasional masih relevan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

Selepas PRU14, terdapat khabar angin bahawa MCA dan MIC mahu meninggalkan UMNO dan BN, sama seperti tindakan yang diambil oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam turut mengingatkan calon-calon MCA supaya tidak memandang ringan cabaran pada PRU15.

“Kita tidak boleh berasa terlalu selesa, saya sendiri akan bekerja dengan keras sebagai calon dan tidak akan memandang rendah pilihan raya ini kerana apa-apa sahaja perkara boleh berlaku.

“Namun, saya percaya dengan perkhidmatan dan rekod pencapaian yang ada, ditambah dengan jentera BN yang bertungkus lumus, kita mampu lakukan terbaik untuk memastikan Parlimen Ayer Hitam menjadi milik mutlak BN,” katanya sambil mengingatkan jentera MCA dan BN supaya bersedia berdepan sebarang taktik yang akan dimainkan pihak lawan sepanjang tempoh berkempen bermula 5 November ini.

Dalam pada itu, Ka Siong turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM1 juta oleh kerajaan negeri Johor kepada sekolah berkenaan bagi pembayaran premium tanah. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya