Malaysia kutuk serangan kapal tangki pelabuhan Yemen

Malaysia kutuk serangan kapal tangki pelabuhan Yemen

WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia turut senada dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk keras serangan pengganas ke atas kapal tangki di sebuah pelabuhan di Yemen.

Menerusi kenyataan Wisma Putra di sini, Malaysia mengecam insiden itu yang menggunakan dua unit dron bagi menyerang sebuah kapal asing dan bernama Nissos Kea baru-baru ini.

“Malaysia dengan tegas turut menyeru semua pihak bertelagah agar segera menggantung sebarang provokasi yang boleh mencetuskan situasi ketegangan di Yemen,” katanya.

Isnin lalu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengutuk kejadian itu yang berlaku di Terminal Minyak Al-Dhabba terletak dalam Pelabuhan Ash Shihr, wilayah Hadramaut di timur Yemen.

Serangan tidak diduga yang dilancarkan pemberontak Houthi Syiah disokong Iran itu namun berjaya dipintas pasukan keselamatan Yemen tanpa mengakibatkan kerosakan ke atas kapal.

Media melaporkan, ketika kejadian berlaku, petugas sedang sibuk memunggahkan dua juta tong minyak mentah dari terminal ke kapal milik Okeanis Eco Tankers berdaftar di Greece.

Presiden UNSC, Michel Xavier Biang pada sesi mesyuarat di ibu pejabat PBB mengesahkan tiada kemalangan jiwa melibatkan kru kapal yang mengibarkan bendera Marshall Islands itu.

Mengulas kanjut, Wisma Putra mengulangi pendirian Malaysia menggesa semua pihak terlibat untuk memperbaharui semula proses gencatan senjata yang berakhir pada 2 Oktober lepas sebagai langkah mewujudkan suasana kondusif dan dapat bawa kepada rundingan inklusif ke arah perdamaian dan penyelesaian konflik di Yemen.

Inisiatif yang diusahakan oleh Utusan Khas PBB ke Yemen, Hans Grunberg itu sebelum ini merintis gencatan bermula pada 2 April lalu dan berjaya diperbaharui sebanyak dua kali.

Bagaimanapun rundingan awal bulan lepas gagal mencapai sebarang perjanjian gencatan dan Houthi melancarkan semula serangan dengan sasaran aset asing sebagai tanda amaran.

Kemelut politik Yemen meletuskan siri perang saudara sejak 2014 apabila puak Houthi Syiah ditaja Iran menawan ibu kota Sanaa memaksa kerajaan sah melarikan diri ke Aden di selatan.

Konflik permusuhan di negara itu mengakibatkan lebih 377,000 maut termasuk ribuan orang awam dan menyebabkan krisis kemanusiaan dengan empat juta rakyatnya menjadi pelarian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya