MAIWP peruntuk bajet RM1.4 bilion tahun depan - Utusan Malaysia

MAIWP peruntuk bajet RM1.4 bilion tahun depan

PENGERUSI MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar (tengah) bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Nizam Yahya (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd. Fauzi Abidin dalam sidang akhbar membentangkan Bajet MAIWP 2023 di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan bajet sebanyak RM1.4 bilion untuk tahun depan, iaitu peningkatan sebanyak 13.54 peratus berbanding RM1.28 bilion tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, ia berikutan anggaran pendapatan MAIWP pada 2023 yang meningkat sebanyak 15.7 peratus kepada RM1.28 bilion berbanding RM1.11 bilion pada 2022.

Jelasnya, MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion, manakala selebihnya merupakan anggaran pendapatan daripada sumber lain seperti sewaan, yuran pengajian serta pelaburan dan peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan.

“Tahun depan kami memperuntukkan perbelanjaan agihan zakat kepada asnaf sebanyak RM1.177 bilion, perbelanjaan pengurusan RM199 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM70.7 juta.

“Bajet defisit disediakan melalui pencairan rizab simpanan dan wang tunai sebanyak RM162.12 juta untuk 2023. Bajet itu dijangka melebihi jumlah anggaran pendapatan 2023,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sementara itu, Mohd. Daud berkata, sejumlah RM50 juta akan disalurkan kepada 73,895 asnaf sehingga hujung tahun ini menerusi Bantuan Zakat Khas MAIWP Insani.

Menurutnya, bantuan tersebut bertujuan menyantuni semua asnaf di Wilayah Persekutuan, berikutan cabaran krisis makanan dan bahan tenaga yang berlaku kini.

Bantuan Zakat Khas MAIWP Insani berjumlah RM50 juta disalurkan sehingga akhir tahun ini bagi menyantuni semua asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Seramai 30,000 orang penerima Bantuan Kewangan Bulanan akan menerima bantuan zakat khas RM1,000 seorang di mana RM250 telah dibayar pada Ogos lepas, manakala baki sebanyak RM750 akan dibayar pada Disember ini.

“Bantuan Am Persekolahan sebanyak RM200 juga akan disalurkan kepada 36,750 orang pelajar manakala 6,600 penerima akan mendapat zakat khas Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM500,” katanya.

Tambahnya, semua bantuan akan disalurkan secara berperingkat kepada penerima yang ada dalam pangkalan data MAIWP dan menjangka seramai 2,000 asnaf akan dikeluarkan daripada garis kemiskinan sehingga penghujung tahun ini.

Sementara itu, Mohd. Daud turut berkata, 530 buah institusi termasuklah sekolah rendah, menengah, KAFA, Tahfiz di seluruh Wilayah Persekutuan akan menerima RM30,000 bagi membiayai pelaksanaan aktiviti pelajar asnaf dan pembaikan infrastruktur.

15 buah hospital turut disalurkan Bantuan Khas Tabung Kebajikan Hospital dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM950 ribu untuk menampung kos-kos rawatan asnaf.

Bermula Januari hingga Oktober 2022 sahaja, MAIWP telah mengagihkan hampir RM700 juta dana zakat menerusi bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada asnaf yang memerlukan.

“Kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar ini berjaya dilaksanakan oleh MAIWP hasil daripada komitmen para pembayar zakat di dalam dan luar Wilayah Persekutuan.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua pembayar zakat, kerana dengan zakat anda, MAIWP dapat melaksanakan amanah dengan membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya