PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi kelonggaran khas terhadap dasar pengambilan kakitangan awam bagi menjayakan penubuhan lembaga unggas yang mengawal sektor ayam dan telur negara.
Jika kerenah birokrasi sehingga mengagalkan usaha kerajaan menubuhkan lembaga unggas, isu tiada bekalan ayam dan telur tidak selesai sehingga menyebabkan pengguna akan terus keluh-kesah dengan masalah kekurangan bahan mentah itu.
Buktinya, isu ayam timbul semula dengan yang terbaharu, akhbar ini mendedahkan sekurang-kurangnya tiga syarikat gergasi tempatan yang mengeksport ayam ke Singapura dimiliki oleh entiti dari negara seberang tambak itu.
Mereka disyaki melakukan penipuan dengan mengisytiharkan di pintu-pintu keluar negara, kononnya ayam hidup yang mereka eksport ke Singapura adalah ayam kampung atau color broiler. Sedangkan, ayam yang dieksport itu merupakan ayam daging putih yang mana eksportnya dihadkan kerajaan.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, antara punca yang menghalang penubuhan lembaga itu akibat dasar kerajaan yang tidak lagi mengambil kakitangan awam baharu.
Malah kata sumber, dalam konteks lembaga ruminan yang sebelum ini heboh diperkatakan, usaha puluhan tahun bagi menubuhkan lembaga tersebut masih gagal mencapai titik noktah kerana masalah perjawatan.
PLATFORM
“Kalau misalnya nak buat lembaga unggas, sudah banyak platform membincangkan perkara ini. Untuk tubuhkan lembaga unggas ini, untuk set up itu bukan ambil masa yang singkat.
“Tengok lembaga ruminan yang nak dibuat sejak 10 tahun lepas, saya difahamkan sampai sekarang pun tak siap-siap. Apa saja pun, kena ada political will. Sebab kalau tiada benda ini, ia tak mudah berlaku dan banyak sangat cabaran,” katanya semalam.
Menjelaskan lanjut, sumber berkata, berdasarkan maklumat diterima pihaknya tentang lembaga ruminan, walaupun organisasi lembaga tersebut sudah siap disusun, namun masalah mula timbul apabila waran perjawatan tidak diluluskan.
“Jadi macam mana nak gerak? Sebab saya difahamkan, tiada kelulusan perjawatan, senyap saja. Sumber-sumber saya memberitahu, bila angkat waran itu untuk dibentangkan dalam kelulusan Bajet, tahun demi tahun tak dilulus.
“Jadi pada saya, perkara sama akan berlaku dalam lembaga unggas. Maknanya nak buat ini, bukan satu benda senang dan perlukan komitmen keseluruhan. Kalau betul nak buat, perjawatan perlu ambil kira.
“Ini, saya difahamkan bila agensi mengusulkan, kerajaan pula kata tiada pertambahan dan pengambilan kakitangan awam. Jadi, arahan itu termasuk juga dengan lembaga-lembaga yang nak ditubuhkan, dan tergantunglah usaha penubuhan lembaga itu,” katanya.
Oleh itu, tanpa lembaga khusus menyelia industri penting makanan akan mengakibatkan masalah ketirisan dan eksploitasi oleh pemain-pemain gergasi seperti industri ayam yang turut mampu memintas sistem sedia ada.- UTUSAN










