PETALING JAYA: Sempena Malaysia mengundi hari ini, lebih 10 juta warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jumlah tersebut berdasarkan lonjakan tempahan tiket bas, tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan kenderaan persendirian yang mula meninggalkan Lembah Klang terutama ibu negara sejak Khamis lalu.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberitahu Utusan Malaysia, semua lebuh raya utama sejak petang Khamis lalu hingga petang semalam merekodkan kira-kira 4.8 juta pergerakan kenderaan meninggalkan ibu negara.
Keadaan itu menyebabkan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mencatatkan peningkatan aliran trafik antara 11 hingga 15 peratus berbanding hari biasa sejak petang kelmarin.
Kata jurucakap itu, pertambahan kenderaan mendadak itu menyamai seperti musim-musim perayaan dengan ibu negara dan kebanyakan jalan lengang.
“Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mencatatkan jumlah trafik sebanyak 1.5 juta atau peningkatan 11 peratus kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan sehingga hari ini (semalam).
PANTAI TIMUR
“Sebanyak 166,000 kenderaan pula bergerak ke pantai timur dengan pertambahan 60 sehingga 70 peratus yang melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1,” kata beliau semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Op PRU-15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, walaupun berlaku gerakan `besar-besaran’ keadaan lalu lintas di seluruh negara terkawal.
Menurut beliau, PDRM sentiasa bersiap sedia dan mempertingkatkan pemantauan terhadap pergerakan kenderaan di seluruh negara.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu iaitu 18 dan 19 November sebagai Hari Kelepasan Am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Dalam tempoh cuti umum itu juga kerajaan turut mengumumkan pemberian tol percuma di 30 konsesi lebuh raya.
TOL
Tol percuma tersebut bermula dari pukul 12.01 pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam hari Sabtu, 19 November, melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1.
Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan, jumlah tiket bas dan kereta api mencapai hampir 100 peratus daripada kuota disediakan sempena hari pengundian.
Yang Dipertua Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, permintaan tiket bas tinggi dan sebanyak 200,000 tiket terjual sejak 15 November dan Pembawa telah menyediakan beberapa buah bas tambahan tetapi difahamkan turut penuh.
Selain tiket bas, jurucakap KTMB pula berkata, melalui data dikemas kini pada 17 November 2022 bagi perjalanan tren ETS dan tren KTM intercity, lebih 95 peratus tiket menuju semua destinasi telah dijual.
Menurutnya, orang ramai mula membeli tiket lebih awal selepas pengumuman tarikh PRU15, manakala tiket tambahan mula dijual pada 1 November.
Sebanyak 98 peratus tiket dijual bagi sektor Kuala Lumpur – Ipoh, 88 peratus bagi Kuala Lumpur – Butterworth, 86 peratus bagi Kuala Lumpur – Padang Besar dan 99 peratus bagi Kuala Lumpur – Tumpat.
Jurucakap KTMB itu berkata, KTMB menawarkan sebanyak 2,520 tiket tambahan pergi dan balik bagi laluan KL Sentral – Butterworth – Padang Besar – KL Sentral dan telah menjual 2,119 tiket.
Selain itu, sebanyak 1,432 tiket tambahan pergi dan balik telah ditawarkan bagi laluan KL Sentral – Tumpat – KL Sentral, dan sebanyak 1,303 tiket dijual. – UTUSAN










