KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan melantik Perdana Menteri.
Pejabat Premier Sarawak menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.
“GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Cadangan itu mewakili keterangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.
“GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambilkira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi,” tambahnya. –UTUSAN