PETALING JAYA: Kempen minggu pertama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sejak hari penamaan calon Sabtu lalu dingin tanpa isu-isu yang lebih penting melibatkan misi negara, sebaliknya hangat dengan serangan peribadi dan menjadi pentas menjawab tuduhan.
Selepas enam hari bertemu pengundi, naratif parti-parti politik masih berlegar tentang isu lama antaranya tentang calon Perdana Menteri, pengkhianat, boneka komunis serta salah guna kuasa.
Malah, tiga gabungan besar melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat masih buntu mendapatkan sokongan lebih 21 juta pengundi ketika hari mengundi berbaki tinggal lapan hari selepas berakhir pusingan pertama ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, naratif yang ditimbulkan parti politik tidak lain adalah untuk mendapatkan kelebihan sokongan pengundi.
Katanya, strategi yang digunakan sepanjang pusingan pertama kempen itu sudah dapat diagak kerana masing-masing masih buntu untuk mendapatkan sokongan pengundi yang menyeluruh.
“(Sokongan parti politik) tak nampak menyeluruh, cuma di satu-satu tempat. Kalau PH, kita boleh lihat momentum di bandar sudah nampak. PN pula nampak ketara di utara dan pantai timur, manakala BN (hanya) di Johor dan Pahang masih utuh.
“BN kurang agresif dari segi kempen ceramah dan itu mungkin ada masalah (disebabkan ada beberapa) individu tak boleh bertanding, berbanding PH yang buat rapat umum besar, (kempen) Ayuh Malaysia sehingga dapat sambutan besar terutamanya di kawasan bandar.
“Oleh itu, apabila mereka masih buntu lagi, (itu yang) ada tuduhan kerjasama dan perbincangan antara satu sama lain (selepas PRU15) kerana tak ada (parti) dominan dan kena kerajaan campuran, sebab itu teori tersebut sudah jadi tular,” katanya ketika dihubungi semalam.
PRU15 yang dianggap paling sengit dalam sejarah negara menyaksikan 23 parti politik bertanding merebut 222 kerusi Parlimen, 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, Perak dan Perlis dan satu kerusi DUN Bugaya di Sabah.
Tempoh berkempen PRU15 bermula Sabtu lepas sehingga pukul 11.59 malam, 18 November ini yang kebiasaannya terbahagi kepada dua pusingan.
Pusingan pertama berakhir hari ini dengan pusingan kedua kempen yang dianggap lebih getir bagi setiap parti untuk menarik sokongan sebelum tarikh mengundi Sabtu depan.
Mengulas lanjut, Dr. Mazlan berkata, tempoh hampir seminggu kempen ini menyaksikan PH lebih banyak memainkan soal integriti terhadap pemimpin seteru, manakala BN dengan naratif kestabilan, tetapi hanya menggariskan bantuan secara one-off.
Selain itu katanya, PN pula menawarkan sebuah negara berkebajikan dengan mengambil kira rekod prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh 17 bulan.
“PH lebih kepada pendedahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, tujuan itu adalah kerana jika betul (tuduhan) itu berlaku, dia (Rafizi) akan bantu meraih sokongan kepada PH kerana rakyat akan lihat menteri Pas tidak telus.
“BN pula membawa naratif kestabilan, tetapi kebanyakannya bersifat one-off yang (mungkin) mengambil kira kehilangan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi yang tidak merangsang semasa fasa pandemik ini.
“PN sekarang lebih menawarkan sebuah negara berkebajikan. Tawarannya sama seperti BN, tetapi nampaknya lebih komprehensif. Banyak pakej yang tidak bersifat one-off, tetapi pakej yang boleh selesaikan (masalah) rakyat untuk jangka masa panjang,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemerhati politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, kempen menggunakan ‘pembunuhan karakter’ bagaimanapun bukanlah satu perkara yang memberi kesan utama dalam mempengaruhi pengundi.
Beliau berkata, ini kerana rakyat sudah tentu mengutamakan banyak isu-isu utama yang lain dalam memilih calon mewakili kawasan mereka, 19 November ini.
“Serangan karakter atau individu itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam pilihan raya sama ada rekaan atau realiti untuk merendahkan kemampuan seseorang itu dan boleh dilihat antara calon akan serang satu sama lain, kadang-kadang sampai bangkitkan benda yang tidak sihat seperti isu peribadi.
“Namun, yang penting adalah apa yang mahu disumbangkan oleh calon itu di kawasan masing-masing, jadi (ia tetap) terpulang kepada rakyat sama ada mahu menerima atau menilainya.
“Tidak dinafikan kesan kritikan itu ada, tetapi sikit sebab rakyat ada banyak perspektif dalam melihat calon, parti dan manifesto. Cumanya, mainan isu peribadi terutamanya mengalih arah tumpuan rakyat untuk melihat isu pokok dan perancangan (yang ingin dibawa),” katanya.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain pula berpandangan, pembunuhan karakter sedikit sebanyak memberi kesan dalam mempengaruhi pengundi yang mana ia boleh dilihat pada pilihan raya umum 2018.
Bagaimanapun katanya, ia tetap bergantung kepada bagaimana parti dan pimpinan yang dituduh itu menangkis dan menafikan tuduhan dengan pantas.
“Kadang-kadang kena beritahu kepada pengundi bahawa benda-benda ini merupakan satu propaganda yang disampaikan oleh sesiapa sahaja yang tidak dapat disahkan kebenarannya.
“Ini kerana propaganda ini paling berkesan kepada minda rakyat, maka atas sebab itu rakyat kena dijelaskan yang mana propaganda dan yang mana bukan propaganda.
“Namun, tidak semua pendapat itu ada kebenarannya, tetapi ada pendapat itu perlu diterima, cuma faktanya itu perlu berlandaskan bukti dan tapisan daripada mana mereka peroleh (tuduhan itu),” jelasnya. – UTUSAN










