fbpx

Kedudukan saya sensitif, rapuh untuk lindungi kepentingan negara, 1MDB

1mdb
Bicara Datuk Seri Najib Tun Razak atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau terpaksa mengimbangi jawatan-jawatan yang dipegangnya dalam usaha melindungi kepentingan negara dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Mohd. Irwan, beliau berada di kedudukan yang sangat sensitif berikutan jawatannya sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ahli Lembaga Penasihat syarikat pelaburan negara itu ketika itu.

“Ia adalah kedudukan yang sangat rapuh. Ia memerlukan imbangan dan pendekatan yang betul supaya ia dapat memberi manfaat kepada syarikat dan juga kepada negara,” katanya.

Mohd. Irwan yang juga saksi pendakwaan ke-42 berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Selain itu, Mohd. Irwan menafikan bahawa pegawai-pegawai lain di Kementerian Kewangan tidak boleh bertemu terus dengan Najib.

Kata beliau, pegawai-pegawai di bawah juga mempunyai akses secara langsung kepada Najib terutama apabila membabitkan hal ehwal syarikat pelaburan negara.

“Itu tidak tepat. Pegawai lain, kadang-kadang Perdana Menteri (Najib) memanggil mereka secara langsung, sesiapa sahaja boleh mendekati beliau,” katanya.

Pada perbicaraan terdahulu, Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan ketika itu, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa berkata, beliau tidak mempunyai akses secara langsung kepada Najib untuk menyuarakan kebimbangannya mengenai 1DMB.

Katanya, bukan menjadi amalan lazim untuk seseorang memintas pegawai atasan dan bercakap terus dengan Perdana Menteri. 

Perbicaraan yang didengar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Disember ini.- UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received