Jangan bereksperimen lagi - Mohamad

Jangan bereksperimen lagi – Mohamad

MOHAMAD HASAN bersama-sama pemimpin BN Johor meletakkan tangan pada bebola kaca sebagai gimik pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHAIRUL MOHD ALI/luqman
pix RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI: Rakyat Malaysia, khususnya para pengundi digesa tidak lagi menjadikan politik negara sebagai bahan eksperimen dengan mempertaruhkan masa depan mereka.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara bukan sahaja rugi sejak 2018, tetapi turut mundur sebanyak 20 tahun.

Sehubungan itu, beliau menggesa para pengundi supaya kembali memberikan mandat kepada BN bagi membawa negara ke landasan sebenar seperti sebelum 2018.

“Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tiga kerajaan melibatkan semua parti politik diberikan peluang, 22 bulan yang sia-sia, tiada apa yang dilakukan menjadikan rakyat kecewa.

“Diambil alih kerajaan 17 bulan, dan menjadi kerajaan paling lama mengurung rakyat (menerusi Perintah Kawalan Pergerakan) menjadikan negara tidak menentu, kemudian baharulah kita ambil sementara, tetapi majoriti tipis tidak akan dapat meyakinkan pelabur.

“Disebabkan itu, keputusan telah dibuat untuk membubarkan Parlimen dan memulangkan semula mandat kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika melancarkan Jentera BN Johor bagi PRU15 di Pusat Sukan EduCity, di sini malam ini.

Justeru, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN menggesa jentera BN di peringkat akar umbi untuk turun padang dan menarik seramai mungkin pengundi bagi kembali mengangkat BN sebagai kerajaan di peringkat Pusat.

“Berilah mandat kepada kerajaan yang mempunyai rekod pencapaian cemerlang dalam mentadbir negara, cukuplah bereksperimen kerana eksperimen itu hanya akan membuat negara menjadi teruk.

“Untuk BN, tidak perlulah kita bercakap buruk tentang orang, rakyat boleh menilai, kita uruskan jentera dengan baik dan bergerak dengan sempurna Insya-Allah akan beroleh keputusan baik pada 19 November ini,” katanya.

Mohamad yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau turut memberi sasaran kepada BN Johor memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

“Saya mahu BN Johor beri tidak kurang daripada 20 kerusi untuk bantu kita menubuhkan kerajaan di Putrajaya, saya yakin dengan kemampuan jentera Johor yang sebelum ini mencatat rekod cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

“Maka malam ini saya minta lupakan perkara kecil dan remeh temeh, janganlah tersangkut kaki dengan perkara kecil kerana keutamaan kita adalah untuk menang PRU15, itu utama.

“Mari kita satukan hati dan kekuatan, rempuh apa halangan yang ada di hadapan, ganyang Pakatan Harapan (PH) dan bawalah pulang semangat ini dan kembangkan di kawasan masing-masing,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya