Isu undi BN, PH masuk neraka, Ketua Pemuda Pas Sik mohon ‘berehat’ - Utusan Malaysia

Isu undi BN, PH masuk neraka, Ketua Pemuda Pas Sik mohon ‘berehat’

MOHD. SHAHIFUL MHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Pemuda Pas Kawasan Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir yang dikecam kerana mengeluarkan kenyataan pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka memohon untuk ‘berehat’ daripada memegang semua jawatan dalam parti.

Menerusi surat yang tular di media sosial, Mohd. Shahiful mengakui bahawa permohonan tersebut dibuat susulan  penularan klip video memaparkan ucapannya dalam satu ceramah baru-baru ini.

Surat bertarikh 11 November itu ditujukan kepada Setiausaha Pas Kawasan Sik dengan tempoh rehat berkenaan dikatakan akan dimaklumkan kelak.

“Permohonan ini dibuat secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Ucapan dalam video tersebut merupakan ucapan sendiri dan bukan mewakili Pas khususnya dan Perikatan Nasional (PN) amnya.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada dalam Pas mahu pun PN yang terkesan dan tersinggung dengan ucapan tersebut,” katanya menerusi surat terbabit.

Sebelum ini, Mohd. Shahiful tampil memohon maaf secara terbuka serta mengakui bahawa berkaitan syurga dan neraka bukanlah ditentukan hanya kepada penyokong BN dan PH sebaliknya melibatkan secara umum yang melakukan kebaikan atau kejahatan.

Sambil memohon maaf, beliau turut meminta agar semua pihak menghentikan segala bentuk sebaran klip video ceramahnya sebelum ini bagi menjamin keharmonian selain memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bebas daripada isu perkauman dan agama melampau.  

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Menteri Besar ketika dihubungi mengesahkan kesahihan surat tersebut.

“Ya, surat itu sahih,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya