MUKADIMAH
Ramalan Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendakwa kerusi Parlimen Gombak akan berpindah tangan kepada calon Pakatan Harapan (PH), DATUK SERI AMIRUDIN SHARI seolah-olah memberi bayangan kemenangan awal kepada Menteri Besar Selangor itu.
Namun, ramalan akan kekal sebagai ramalan jika tidak terbukti kesahihannya. Tidak mahu berpeluk tubuh hanya bersandarkan ramalan kemenangan, Amirudin tekad meneruskan kempen hingga ke saat terakhir.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, ALIF FADLI MOHD. SORI, Pengerusi PH Selangor bercakap soal keyakinan dan iltizamnya untuk menakluk bumi Gombak yang disandang Azmin selama tiga penggal.
UTUSAN: Sentimen sokongan terhadap jentera PH di Gombak? Di peringkat nasional pula, bagaimana dokongan pengundi terhadap PH?
AMIRUDIN SHARI: Secara keseluruhan, saya yakin ada peningkatan sokongan dari masa ke semasa. Kita sudah bertemu ramai orang dan kalau kita lihat juga, program anjuran PH sentiasa dihadiri ramai pengundi. Tetapi, tempoh berkempen ini bukanlah satu ukuran untuk kita terlalu yakin dan selesa. Rakyat mahu lihat secara keseluruhan kemampuan PH membentuk satu kerajaan stabil.
Saya selalu ingatkan jentera dan penyokong untuk berjuang hingga ke saat terakhir kempen. Kita ada lebih 206,000 pengundi di Gombak dan kita mahu kekalkan kerusi Parlimen dalam tangan PH.
IDE meramalkan kemenangan PH yang jauh meninggalkan calon PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Adakah ramalan itu menambah keyakinan untuk terus mengekalkan Gombak untuk PH?
Saya selalu ingatkan diri sendiri dan jentera untuk tidak terpengaruh dengan sebarang bacaan atau ramalan awal. Itu akan memberi kesan kepada saya dan juga jentera. Mungkin akan wujud keyakinan terlampau dan mengundang pelbagai sentimen perkara bukan-bukan. Kehadiran perasaan terlalu selesa dan kurang kerja keras itu adalah perkara yang saya cuba elakkan.
Ada pihak mendakwa ramalan IDE adalah satu propaganda yang sengaja dicipta kerajaan Selangor untuk ‘menghangatkan’ suasana untuk mewujudkan keyakinan serta mungkin ketakutan kepada pihak lawan. Komen anda?
Bacalah laporan serta ramalan lain. Lebih kurang sama sahaja kan? Tetapi sekali lagi, saya tidak mahu terpengaruh dengan laporan serta kajian seperti itu. Ya, pastilah gembira bila membaca laporan itu. Takkan nak sedih pula.
Gabungan PH-BN. Ada satu kemungkinan?
Setakat ini, tiada agenda atau rancangan tersebut dalam senarai semak saya. Apa yang penting, kami perlu pastikan PH menunaikan tawaran dan berkhidmat untuk rakyat. Jika ada yang mahu bergabung, terpulang.
Bagaimana perancangan masa depan untuk Gombak khususnya? Percambahan ekonomi, pendidikan dan pelbagai lagi sektor cukup dititik beratkan oleh pengundi di kerusi Parlimen tersebut.
Perkara pertama yang ditekan dalam Deklarasi Gombak saya adalah pembangunan sektor ekonomi. Kita mahu realisasikan Gombak bermaruah. Pengundi di sini cukup berpengetahuan, cuma mereka dikaburi oleh permainan politik.
Pihak lawan menggunakan naratif perkauman untuk bercakap soal pembangunan ekonomi. Macam mana mahu selesaikan masalah ekonomi menggunakan perkauman? Isu perkauman adalah satu taktik politik mereka.