Isu banjir, capaian internet antara tuntutan penduduk Hulu Langat

Isu banjir, capaian internet, program sahsiah anak muda antara tuntutan penduduk Parlimen Hulu Langat

PENDUDUK berharap masalah banjir yang melanda beberapa kawasan di Hulu Langat tahun lalu diberi perhatian dan penyelesaian jangka panjang. - FOTO/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Ketika tumpuan PRU15 kali ini dikhususkan kepada Parlimen ‘panas’ dengan calon heavyweight, penduduk sekitar Parlimen Hulu Langat yang tahun lalu dilanda banjir teruk, berharap supaya pemimpin dapat memberikan penyelesaian jangka panjang bagi mendepani musibah itu.

Seorang penduduk Kampung Jawa yang juga pengundi di Parlimen itu, Arnely Dewi Afrizal berkata, isu penyelesaian banjir harus dijadikan tumpuan bagi calon-calon di sini.

“Kalau boleh, pemimpin dapat menaik taraf sistem perparitan dan menyediakan pelan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan masalah banjir seperti tahun lalu tak berulang.

“Sebab di kawasan-kawasan dalam Hulu Langat yang dilanda banjir tahun lepas, keadaan sangat teruk. Misalnya di Kampung Jawa, rumah saya dinaiki air lebih satu meter. Bila saya berdiri, memang tenggelam sehingga paras leher,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Arnely yang juga kakitangan awam itu berkata, pemimpin Parlimen Hulu Langat yang dipilih nanti harus menyelaraskan bantuan banjir secara pantas bagi membantu keluarga yang terkesan.

“Harapan saya agar mereka juga menyalurkan bantuan banjir dengan pantas. Macam sekarang, sudah satu tahun sejak banjir tahun lalu, bantuan wang ringgit untuk baik pulih rumah masih kami tak dapat,” katanya.

INTERNET

Sementara itu, jurutera teknologi maklumat sebuah syarikat swasta, Tarmizi Mohammad Noor, 37, berkata, terdapat kawasan-kawasan desa dan pedalaman sekitar Hulu Langat yang masih tidak menerima capaian internet yang sempurna.

Malah, katanya ada kawasan yang memerlukan pembangunan infrastruktur seperti baik pulih jalan.

“Keluarga saya tinggal di Kampung Sesapan Batu Minangkabau di Beranang, Hulu Langat. Saya harapkan pembangunan infrastruktur di kawasan desa.

“Kawasan-kawasan kampung di sana ada yang memerlukan baik pulih jalan. Masalah utama di sana adalah masalah infrastruktur. Pembangunan di Hulu Langat ini tertumpu kepada kawasan pekan dan jalan-jalan besar saja, tapi di kampung-kampung pembangunan infra tidak sampai.

“Lagi satu, masalah jalur lebar. Di kampung-kampung capaian internet masih lemah, malah di kawasan ceruk, internet tak sampai. Penyedia perkhidmatan jalur lebar tak menyediakan perkhidmatan internet di kawasan pedalaman,” katanya.

Memberi contoh, dia berkata isu jalur lebar sering kali dibangkitkan penduduk di kampungnya.

“Di rumah ibu saya di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, talian internet dan jalur lebar di rumah-rumah memang perlahan sehingga seringkali tidak stabil.

“Malah sebelum ini pun, sewaktu saya mahu pasang internet, saya terpaksa pasang talian telefon terlebih dahulu baru boleh mohon pasang perkhidmatan jalur lebar,” katanya.

BUDAYA MEMBACA

Penduduk Kampung Rinching Tengah yang dihubungi, Mohd. Nizam Radzaly, 56, menyatakan harapan agar pemimpin di Hulu Langat dapat membangunkan program-program bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda di sana.

“Melalui komitmen yang ditonjolkan pemimpin agar membangunkan kempen membaca, maka generasi muda di kawasan ini akan ditanam dengan sifat yang murni seperti pandai menggunakan masa yang terluang.

“Ini akan membentuk generasi yang celik dan bijak pandai, sekali gus mengelakkan anak muda terjebak dengan aktiviti tidak bermanfaat. Justeru, saya harap pemimpin di sini dapat memberi tumpuan terhadap perkara ini,” katanya.

Parlimen Hulu Langat bakal menjadi rebutan enam parti dalam PRU15, menyaksikan persaingan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan dan calon Bebas.

Pada PRU14, Parlimen itu dimenangi Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus (PH) dengan 49,004 undi, menewaskan calon BN Azman Ahmad yang memperoleh 23,580 undi dan Pas, yang diwakili Dr. Che Rosli Che Mat (15,663 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.