Hiba terima Pingat Jasa Malaysia arwah suami - Utusan Malaysia

Hiba terima Pingat Jasa Malaysia arwah suami

ROSLINA Abdul Rahman bersama pingat PJM yang diterima bagi pihak arwah suaminya pada majlis penganugerahan pingat tersebut di KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut, Perak. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  “Suami sudah buat persiapan termasuk membeli pakaian, kasut dan songkok serba baharu untuk terima pingat, tapi Allah lebih menyayanginya.” 

Roslina Abdul Rahman, 58, dari Kampung Talang Hilir, Kuala Kangsar, hadir di Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di KD Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini semalam bagi pihak suaminya, Ahmad Ngah Mohd. Yusof.

Ahmad yang bersara dengan pangkat Staf Sarjan meninggal dunia akibat sakit jantung pada usia 63 tahun di Hospital Kuala Kangsar pada 22 September lalu.

Roslina yang hadir berkerusi roda ditemani dua anaknya beberapa kali menangis dan mengesat air matanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut yang disempurnakan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd Sany.

Menurut Roslina, sebaik sahaja mendapat tahu bakal menerima pingat tersebut pada Ogos lalu, suaminya begitu ceria dan gembira dan mereka pergi ke bandar Taiping semata-mata untuk menempah pakaian baju Melayu, kasut dan songkok baharu untuk dipakai pada majlis tersebut.

“Itulah sebab saya hiba sangat apabila menerima pingat ini bagi pihak suami pada hari ke-40 kematiannya hari ini sebagai menghargai sumbangannya kepada negara selama 21 tahun,” ujarnya.

Jelas Roslina, arwah suaminya sebelum ini tidak pernah dirawat di hospital, sebaliknya beliau sering masuk wad kerana pelbagai penyakit termasuk buah pinggang dan sentiasa ditemani suaminya itu.

“Disebabkan itu, apabila diberitahu tentang kematian suami kepada saudara-mara dan rakan-rakan, ramai menyangka saya yang meninggal bukan beliau,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya