Hanya PH tawar BN bekerjasama tubuh kerajaan negeri -Saarani

Hanya PH tawar BN bekerjasama tubuh kerajaan negeri -Saarani

SAARANI Mohamad pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di Istana Iskandariah Bukit Chandan di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendedahkan tiada sebarang tawaran dibuat Perikatan Nasional (PN) kepada parti itu untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Menurut beliau, walaupun terdapat pertemuan antaranya dan Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, namun, tiada sebarang tawaran diterima pihaknya sehingga kini.

“Pukul 3 pagi (selepas keputusan PRU15), saya dikunjungi Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi. Dia kata tidak boleh buat apa-apa keputusan dan minta saya berunding dengan Peja (Ahmad Faizal).

“Maka, pada pukul 10 pagi semalam, sebelum saya hadir mesyuarat biro politik, saya berjumpa dengan Peja dan Zainol di mana saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya diberikan tawaran oleh PH.

“Jadi, kalau PN mahu buat apa-apa tawaran kepada saya, silalah. Bagaimanapun, sehingga semalam, saya tidak menerima tawaran itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak yang baharu berkata, tawaran untuk membentuk kerajaan negeri hanya diterima daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, tawaran itu membabitkan jawatan Menteri Besar selain tiga exco kerajaan negeri dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada BN.

“BN hanya mendapat sembilan kerusi dan kita juga telah pun siap sedia untuk menjadi pembangkang, namun, untuk jadi pembangkang perlu ada kerajaan.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak dapat ditubuhkan, PH menang 24 dan PN 26, jika mereka gabung akan menjadi 50 kerusi. Namun, itu tidak berlaku, kedua-dua mereka tidak boleh duduk semeja.

“Jika tiada kerajaan, maka, tiadalah pembangkang. Saya tidak boleh membiarkan keadaan itu berterusan. Sidang DUN Perak perlu segera diadakan bagi membolehkan bajet negeri diluluskan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 di Istana Iskandariah dekat Bukit Chandan di sini.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada pukul 5.30 petang tadi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya