Hadi laga-lagakan DAP dalam  kerajaan perpaduan - Utusan Malaysia

Hadi laga-lagakan DAP dalam  kerajaan perpaduan

ANTHONY Loke Siew Fook ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP cuba menyebar dan mempromosikan Islamofobia dilihat sebagai cubaan untuk melaga-lagakan parti dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP buat masa ini mengambil pendirian bersabar dan akan membuat penjelasan mengenai tuduhan yang dilemparkan tersebut.

Menurut beliau, jika ada tuduhan dan dakwaan oleh Abdul Hadi tersebut berunsurkan fitnah, DAP akan membuat laporan polis mengenainya.

“Itu memang cuba melaga-lagakan DAP, sudah tentu apa yang kita capai sekarang ini, kerajaan perpaduan, mereka nak laga-lagakan.

“Kena bersabar, akan buat penjelasan, kalau ada apa-apa perkara yang kami rasakan fitnah, maka kami akan buat laporan polis,” katanya.

Anthony yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau menghadiri Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini hari ini.

Abdul Hadi semalam menerusi kenyataan mendakwa DAP bersikap melampau iaitu walaupun cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam namun tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa DAP sebenarnya menyebarkan fahaman Islamofobia terhadap golongan bumiputera bukan Islam walaupun pemimpin parti itu  pernah memohon maaf terhadap kesilapan lalu.

Sementara itu, Anthony berkata, tiada perbincangan secara terperinci dilakukan di peringkat Pakatan Harapan (PH) mengenai pembentukan Kabinet.

“Setakat ini belum dibincangkan secara terperinci di peringkat PH, sebab Perdana Menteri (Datuk Seri  Anwar Ibrahim) kena bincang dengan parti-parti berlainan, gabungan lain khususnya Barisan Nasional(BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan itu tidak melibatkan saya.

“(Di peringkat PH) dibincangkan secara am sahaja, Perdana Menteri akan minta setiap ketua parti untuk bincang apabila beliau bersedia, sebab sekarang ini beliau dengar pandangan dahulu.

“(Mengenai portfolio kementerian) memang ada perbincangan, tetapi itu memang (kuasa) prerogatif Perdana Menteri untuk tentukan anggota-anggota jemaah menteri,” katanya lagi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.