Finas serius tangani salah guna dana - Utusan Malaysia

Finas serius tangani salah guna dana

Md. Nasir Ibrahim (tiga kanan) bergambar bersama Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Aznan Bakar (dua kanan), Pengarang Kosmo! dan Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan (tiga kiri) dan PengarangTMR Asuki Abas di ibu pejabat Media Mulia Petaling Jaya semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menjalankan proses penapisan lebih ketat dalam isu pemberian dana bagi menangani salah guna yang dikatakan didalangi sindiket dalam kalangan pemain industri perfileman.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menetapkan tiga kriteria utama dalam menentukan pemohon layak menerima dana diperuntukkan.

Menurut beliau, setiap permohonan akan melalui sistem yang menapis maklumat dise­rahkan. Setiap maklumat itu mempunyai nilai pemarkahan yang akan menentukan kelayakan penerbit menerima dana tersebut.

“Kami akan menilai sama ada penerbit pernah menerima atau tidak dana yang dipohon. Sekiranya pernah, kami akan mendahulukan penerbit yang belum menerima bagi mengelakkan penerima sama berulang.

“Kami turut melihat sumber kewangan pemohon bagi mengelakkan mereka bergantung 100 peratus kepada dana. Ini untuk mengelakkan timbul masalah filem gagal disiapkan sekiranya penerbit tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

“Penerbit juga perlu mempunyai rekod pencapaian bagus. Ketiga-tiga kriteria ini menjadi faktor yang diambil kira bagi melayakkan mereka mendapat markah tinggi,” katanya ketika berkunjung ke ibu pejabat Utusan Malaysia di sini, semalam.

DANA

Terdahulu, Nasir memaklumkan, Finas menerima aduan mengenai salah guna dana yang didalangi penggiat filem tempatan.

Katanya, perkara itu sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

“Saya tidak dapat mengulas panjang kerana perkara itu masih dalam siasatan. Tetapi, semua dakwaan itu diambil serius untuk memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.

Sehubungan itu, Nasir berkata, Finas melakukan penambahbaikan dalam proses pit­ching dengan menambah jumlah pa­nel penilai untuk memastikan ketelusan pemberian dana.

“Sesi pitching ini dikendalikan 26 jawatankuasa panel di dua tempat berbeza secara serentak. Barisan panel tidak mengenali pemohon, justeru tidak timbul isu penyelewengan dalam pemberian dana tersebut,” katanya.

Nasir memaklumkan, sehingga kini Finas menerima 2,000 permohonan daripada syarikat produksi, namun hanya 630 yang melepasi tahap pertama penilaian.

“Mereka seterusnya akan melalui sesi pitching untuk menentukan sama ada kertas cadangan mereka diterima atau sebaliknya. Permohonan mereka seterusnya akan melalui pejabat CEO untuk kenal pasti kertas cadangan mereka sama ada mengikut prosedur atau tidak.

“Ia akan disemak sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Pelulus. Semua permohonan ini akan melalui proses penapisan yang telus,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN