Fadhlina mahu perjuang sosio ekonomi wanita

Fadhlina mahu perjuang sosio ekonomi wanita

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURUN padang dengan misi merampas semula kerusi Parlimen Nibong Tebal untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), FADHLINA SIDEK, 45, mengakui kini menggalas tugas yang sukar dan berat.

Apatah lagi kerusi itu merupakan kubu kuat penyandangnya, Datuk Mansor Othman yang turut bertanding mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam persaingan empat penjuru.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, NORUL AKMA MOHD. ZAIN, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkongsi strategi dan misinya dalam memastikan harapan yang diletakkan pimpinan PKR di bahunya mampu dijadikan realiti.

UTUSAN: Pertama kali dicalonkan di Parlimen Nibong Tebal, bagaimana strategi untuk tarik hati pengundi?

FADHLINA: Pertama, tugas saya adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa saya tidak akan lompat (parti). Jaminan itu sangat penting selepas Akta Anti Lompat parti diluluskan.

Kedua, adalah berdasarkan merit dan kelayakan profesional yang ada pada saya termasuk sebagai seorang peguam Syarie, bekas Senator Dewan Undangan Negeri (DUN) Lantikan Pulau Pinang, Ahli Lembaga Zakat Pulau Pinang dan Ketua Wanita Keadilan Pusat.

Ketiga, adalah tawaran PH untuk rakyat Nibong Tebal yang saya fikir cukup inklusif untuk semua.

Apa jaminan yang boleh diberikan kepada pengundi?

Jika pengundi Nibong Tebal memilih saya, suara mereka akan sampai ke Parlimen. Mereka akan diwakili oleh pakatan parti terkuat dalam sejarah iaitu Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai rekod yang bersih, bebas rasuah, memperjuangkan hak semua kaum, mengangkat agenda ekonomi manusiawi dan membawa agenda reformasi institusi.

Bagaimana sambutan yang diterima dalam kalangan pengundi sejak bermulanya kempen PRU15?

Saya lihat sambutan sangat baik dan penerimaan amat memberangsangkan. Penduduk Nibong Tebal sangat kritikal dan vokal menolak pengkhianat dan mahukan calon yang tinggi moral dan berintegriti.

Apa istimewanya Nibong Tebal di mata anda?

Nibong Tebal mempunyai potensi yang cukup besar dari segi pelan pembangunan yang boleh menarik kerancakan perindustrian dan pelaburan.

Malah berpotensi untuk pergi jauh bagi tarikan eko pelancongan dan memberdaya inisiatif sekuriti serta kedaulatan makanan.

Sebagai Ketua Wanita PKR, bagaimana pula perancangan mahupun hala tuju pembangunan wanita di Nibong Tebal?

Misi saya di sini ialah ‘Nibong Tebal Sejahtera’. Ia cukup signifikan untuk diterjemahkan dalam kerangka kesejahteraan fizikal dan mental. Secara keseluruhannya, kesejahteraan wanita akan menjamin kesejahteraan keluarga serta komuniti.

Dengan itu, taraf sosioekonomi wanita mesti didokong sepenuhnya di samping menyediakan ekosistem selamat supaya mereka boleh bekerja dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Begitu juga dengan sokongan terhadap kualiti khidmat penjagaan anak-anak dalam komuniti yang mampu dibayar bagi membolehkan para wanita dapat kembali bekerja. Malah, anak-anak yang berada di pusat jagaan juga akan dilindungi serta dijamin keselamatannya ketika ibu bapa mereka sedang bekerja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya