Eddin Syazlee hadir bertongkat, mahu pertahan Kuala Pilah - Utusan Malaysia

Eddin Syazlee hadir bertongkat, mahu pertahan Kuala Pilah

EDDIN Syazlee Shith (tengah) hadir bertongkat pada proses penamaan calon PRU15 bagi Parlimen Kuala Pilah di Pusat Penamaan Calon, Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith hadir bertongkat ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen itu yang diadakan di Pusat Penamaan Calon, Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah di sini hari ini.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan itu, beliau masih menjalani proses rawatan susulan daripada  masalah kesihatan yang dialaminya.

Jelasnya, rawatan itu juga bertujuan membolehkannya berada dalam keadaan lebih sihat sekali gus dapat menawarkan perkhidmatan sebagai wakil rakyat kepada penduduk di Kuala Pilah.

“Ia (rawatan susulan) telah dirancang lama cuma hari itu ia ambil masa sedikit kerana tiba-tiba Parlimen dibubarkan.

“Sebenarnya rawatan saya sudah tertangguh dua tahun disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan disebabkan itu ia ambil sedikit masa untuk pulih semula,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada PRU-15 kali ini, Eddin Syazlee yang mewakili PN dicabar empat calon lain termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling yang mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk Adnan Abu Hassan dan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad.

Turut memberikan saingan ialah, calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Kamarulzaman Kamdias dan wakil parti Warisan, Datuk Azman Idris.

Tambah Eddin Syazlee, walaupun masih dalam proses pemulihan, beliau tetap turun bertemu rakyat sepanjang tempoh berkempen yang bermula hari ini.

“Saya akan turun berkempen, turun padang seperti biasa. Turun padang ini perkara biasa yang memang saya buat, saya akan meneruskan kerja-kerja susulan perkhidmatan yang telah diberikan kepada rakyat sebelum ini.

“Semua orang mempunyai peluang yang cerah tetapi berdasarkan rekod perkhidmatan apa yang telah saya dan rakan PN berikan dalam tempoh empat tahun ini, insya-Allah saya yakin (menang).

“Perubahan yang dilakukan di Kuala Pilah menjadi satu bukti yang jelas bahawa kami sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik di Kuala Pilah,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi Parlimen Kuala Pilah dimenangi oleh Eddin Syazlee dengan majoriti tipis 200 undi. Beliau bertanding atas tiket PKR di mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada ketika itu merupakan anggota PH.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya