Dong Zong mahu UEC diiktiraf - Utusan Malaysia

Dong Zong mahu UEC diiktiraf

DONG Zong meminta UEC diiktiraf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) akan bertemu dengan Menteri Pendidikan baharu untuk memberi cadangan supaya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC) Sekolah Menengah Cina bebas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Leong Seng Yee berkata, pihaknya akan meminta kerajaan mempertimbang perkara itu kerana sijil tersebut sudah diterima di universiti swasta dan di luar negara.

“Kita lihat dari sudut akademik, kerana yang lain boleh terima sijil ini, swasta boleh terima, luar negara boleh terima, apa alasan untuk universiti awam tidak boleh terima?

“Kita gembira jika kerajaan boleh menilai kembali sama ada sijil UEC ini memenuhi ke­perluan atau tidak. Jangan politikkan isu ini, tetapi lihat dari segi akademik.

“Kalau Menteri Pendidikan baharu sudah dilantik, kita sanggup untuk duduk berbincang, ia cadangan di pihak kami untuk melihat isu ini dari segi akademik,” katanya ketika dihubungi sema­lam.

Kata Seng Yee, perkara itu antara 11 cadangan yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama persatuan berkenaan baru-baru ini.

Kata beliau, pengiktirafan sijil UEC ke universiti awam turut membolehkan mereka yang layak mendapat tempat dalam perkhidmatan awam.

“Logiknya, jika pelajar sudah mendapat tempat dalam universiti awam, secara automatiknya mereka akan layak mendapat tempat dalam sektor perkhidmatan awam,” katanya.

Mengulas lanjut kata beliau, isu pengiktirafan UEC sudah lama diperjuangkan malah, akan terus kekal memberi cadangan mengenai perkara itu meskipun ditolak kepemimpinan sebelum ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN