Dilarang pasang bahan kempen di premis dan pepasangan elektrik

Dilarang pasang bahan kempen di premis dan pepasangan elektrik TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan parti-parti politik agar tidak memasang bahan kempen di premis dan pepasangan elektrik milik syarikat utiliti itu sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula 5 November hingga 18 November 2022.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, perbuatan itu berbahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik dan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) yang boleh merosakkan harta benda bahkan mengancam nyawa.

Wan Nazmy Wan Mahmood

“Pemasangan bahan-bahan kempen tersebut juga boleh menghalang warga kerja TNB mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, aktiviti itu menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik.

Menerusi rondaan rutin, TNB akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen yang menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna sebagai langkah pencegahan.

Tambah Wan Nazmy, orang ramai boleh menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454, jika ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan atau menjejaskan bekalan elektrik agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

TNB menjelaskan, larangan itu termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN