Chin Tong nafi DAP tidak jaga sensitiviti Melayu  - Utusan Malaysia

Chin Tong nafi DAP tidak jaga sensitiviti Melayu 

Liew Chin Tong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon PH Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong membidas ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kononnya DAP enggan menjaga sensitiviti orang Melayu selain  menyifatkan tuduhan itu tidak benar.

Chin Tong mendedahkan Muhyiddin sebagai Ketua Jawatankuasa Kempen Pilihan Raya PH dalam satu perbincangan berlangsung pada 23 November 2019 pernah mencadangkan agar pimpinan parti mengambil langkah mengikis imej bahawa DAP antiMelayu manakala Bersatu antiCina. 

“Ia soal imej dan persepsi. Kita menerima pandangan ini secara am kerana walaupun ia tidak semestinya benar, ia merupakan persepsi yang lahir akibat kempen bumi hangus UMNO-Pas yang mengapi-apikan sentimen perkauman. Kita perlukan masa untuk melawan fitnah sebegini.

“Belumpun sempat sebarang usaha digerakkan, seperti yang saya catatkan dalam tulisan saya, Tan Sri Muhyiddin sudah mahu membawa Bersatu keluar daripada PH,” katanya dalam Facebook.

Sewaktu Muhyiddin berucap dalam program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa kononnya DAP enggan menjaga sensitiviti orang Melayu.

SEDERHANA

Dalam ucapannya itu, Muhyiddin menyatakan beliau telah meminta Chin Tong memaklumkan kepada pucuk pimpinan DAP agar bersikap lebih sederhana dengan isu-isu yang melibatkan orang Melayu. 

Muhyiddin mendakwa kononnya Chin Tong bersetuju bahawa DAP memang bersikap ekstrem dalam isu-isu yang melibatkan kedudukan istimewa Melayu, raja-raja Melayu dan institusi agama Islam.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, beliau sendiri menyatakan kepada Muhyiddin bahawa Bersatu akan dimakan hidup-hidup oleh UMNO dan Pas jika mereka keluar daripada PH untuk membentuk sebuah kerajaan Melayu Islam.

Katanya, pendirian itu disampaikan iaitu tidak sampai sebulan sebelum Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan PH sewaktu mengunjungi Muhyiddin pada tarikh 5 Februari 2020.

“Kini terbukti apa yang saya katakan itu benar dan ia merupakan satu tragedi untuk Muhyiddin sendiri. Walaupun berjaya menjadi Perdana Menteri, beliau dan Bersatu ditekan dengan teruk oleh UMNO. Malah, tekanan dan sabotaj UMNO terhadap kepimpinan Muhyiddin menyebabkan beliau akhirnya terpaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021. 

“Tetapi serangan UMNO terhadap Bersatu tidak berakhir begitu sahaja. Ia terus bermain kasar sehingga pada 24 September lalu, Muhyiddin sendiri terpaksa mengumumkan kepada rakyat bahawa musuh utama Bersatu dan Perikatan Nasional adalah UMNO-Barisan Nasional,” katanya.

Justeru Chin Tong berharap Muhyiddin sedar kesilapan lamanya dan terus berjuang demi rakyat dan negara bukannya untuk kepentingan peribadi dan menyakini PH tetap berjuang demi rakyat dan negara, dan tidak pernah bersikap ekstrem.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya