KLUANG: Semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diingatkan supaya mematuhi syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh berkempen bagi mengelakkan sebarang provokasi dengan masyarakat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, negara ini sudah 14 kali mengadakan PRU dan semua calon, pengundi serta pihak berkuasa sudah tentu mengetahui akan tanggungjawab masing-masing.
“Selagi kita patuh kepada syarat-syarat yang ditetapkan, saya tidak nampak kenapa harus satu-satu kempen PRU itu boleh menimbulkan provokasi dan suasana tidak selesa bagi kedua-dua belah pihak (calon dan pengundi),” katanya selepas menghadiri Program Bersama Rakyat di Hutan Bandar, Simpang Renggam di sini hari ini.
Hasni yang juga Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Simpang Renggam berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung insiden penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam daripada Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik yang dihemburkan kasar kesat ketika menziarah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Ithnin Maarof di Simpang Renggam, hari ini.
Satu rakaman video tular dalam aplikasi Tik Tok memaparkan tindakan dua individu yang bersemuka dengan bekas Menteri Pendidikan itu mendakwa calon PH itu sebagai ‘kencing’ serta pembohong.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md. Noh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan insiden itu dileraikan oleh pihak polis yang bertugas di lokasi tersebut dan ahli politik terbabit kemudiannya meninggalkan kawasan itu.
Kerusi Parlimen Simpang Renggam menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Hasni, Maszlee, calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Fazrul Kamat serta calon Gerakan Tanah Air (GTA), Kamal Kusmin.
Kerusi Simpang Renggam dimenangi Maszlee pada PRU14 dengan mojoriti 3,475 undi. –UTUSAN