Zuraida seru beri moratorium pinjaman

Beri moratorium pinjaman susulan kenaikan OPR -Zuraida

ZURAIDA Kamaruddin beramah mesra bersama penyokongnya selepas Sesi Penamaan Calon Pilihanraya ke-15 bagi parlimen Ampang, di sini Sabtu lalu. -UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyeru kerajaan memberikan moratorium bagi semua pinjaman bank susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana peningkatan OPR itu memberi impak negatif kepada sektor perniagaan di negara ini meskipun keputusan itu adalah sebagai tindak balas kepada inflasi dan sejajar dengan apa yang dilakukan oleh bank pusat di negara lain.

“Pemimpin-pemimpin PBM, termasuk saya sendiri menerima banyak aduan daripada sektor korporat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai isu ini. Ramai yang masih menghadapi masalah aliran tunai meskipun negara sudah mula beralih ke peringkat (fasa peralihan ke) endemik mereka sejak 1 April lalu.

“Walaupun semua sektor ekonomi kini telah dibuka semula, kita masih jauh dari tahap pasca pandemik. Perang di Ukraine, gangguan dalam rantaian bekalan global dan perubahan iklim hanya memburukkan lagi keadaan. Ini tidak dapat dielakkan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara perdagangan global.

“Ramai peniaga sebelum ini telah menstrukturkan pinjaman mereka dengan andaian bahawa ekonomi akan pulih. Tetapi perkembangan terbaru menunjukkan ekonomi dijangka menghadapi beberapa cabaran dalam tempoh terdekat. Malahan Bank Dunia baru-baru ini telah menyemak semula sasaran pertumbuhan Malaysia 2023 daripada 4.5 peratus kepada 4.2 peratus.

“Inilah sebabnya kami percaya pemberian moratorium ini boleh menjadi talian hayat kritikal untuk perniagaan, terutamanya di masa yang mencabar seperti sekarang. Pakar-pakar ekonomi telah mengesahkan kejayaan rancangan moratorium Malaysia sebelum ini dan saya pasti ia akan membawa manfaat yang sama sekarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyandang Parlimen Ampang itu menambah, bank-bank di Malaysia juga sudah terbukti berdaya tahan, malah ada yang memperoleh keuntungan yang lumayan walaupun pemberian moratorium itu dilaksanakan pada waktu kemuncak jangkitan wabak Covid-19.

“Saya percaya bank-bank mampu menghadapi sebarang kejutan yang mungkin timbul akibat pemberian moratorium tersebut,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Zuraida yang bertanding mempertahankan Parlimen Ampang berdepan pertembungan sembilan penjuru daripada calon Barisan Nasional, (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Warisan dan tiga calon bebas. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya