Anggota bomba terlibat kes seludup ketum akan dibuang kerja -

Anggota bomba terlibat kes seludup ketum akan dibuang kerja

ZAINAL Madasin(dua dari kiri) menunjukkan keratan akhbar berhubung laporan penglibatan anggota bomba yang menyeludup ketum menggunakan van yang diubah suai menjadi van JBPM di Kota Bharu, Kelantan semalam.-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan yang terlibat dalam kes menyeludup sebanyak 850 kilogram daun ketum di Jeli pada Khamis lalu akan dibuang kerja.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin, berkata, siasatan pihak mendapati, selain terlibat dalam kes tersebut, anggota terbabit juga mempunyai masalah disiplin semasa bertugas.

Menurutnya, anggota itu berkhidmat dalam JBPM selama 10 tahun dan pernah bertugas di Perak sebelum berpindah ke Kelantan.

“Tindakan tegas termasuk dibuang daripada perkhidmatan dilakukan kerana anggota terbabit telah mencemarkan nama JBPM bukan sahaja di Kelantan malah profesion sebagai bomba di seluruh negara.

“Saya tidak akan memaafkan kesalahannya kerana ia menyebabkan seluruh jabatan terpalit dengan imej negatif,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong di sini semalam. 

Zainal memberitahu, pihaknya memandang serius isu tersebut yang merupakan kes pertama melibatkan anggota bomba menyeludup ketum yang berlaku di negeri ini. 

Akhbar semalam melaporkan, taktik dua lelaki termasuk seorang anggota bomba yang mengubah suai sebuah van kepada kenderaan JBPM untuk menyeludup sebanyak 850 kilogram ketum bernilai RM8,500 terbongkar apabila mereka ditahan di Kampung Rabbana di sini, Khamis lalu.

Anggota bomba yang berusia 29 tahun itu dan rakannya berusia 35 tahun yang memakai baju-T dan seluar celoreng bomba dicekup kira-kira pukul 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin berkata, kenderaan tersebut pada awalnya melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang di sini sebelum anggota polis melihat sebuah van jenis Toyota Hiace dengan logo JBPM dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota polis terus mengekori van tersebut hampir 10 kilometer sebelum menahannya di Kampung Rabbana. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.