Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada Diplomat Malaysia

Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada Diplomat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Diplomat Malaysia, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar di atas penganugerahan Anugerah Alumni Cemerlang dari Universiti Maritim Dunia (WMU). 

Menurut Istana Negara, penganugerahan itu sebagai mengiktiraf sumbangan Azfar dalam sektor maritim di peringkat nasional dan antarabangsa. 

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan bangga dengan pengiktirafan yang diberikan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura itu yang juga merupakan rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij tersebut, sempena majlis graduasi WMU 2022 di Malmo, Sweden pada 31 Oktober lepas. 

“Anugerah tersebut juga sebagai pengiktirafan atas perkhidmatan beliau dalam kerajaan Malaysia dan usaha beliau membina kerjasama antarabangsa dalam isu berkaitan maritim melalui dialog yang konstruktif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Jelas Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menyifatkan pengiktirafan itu juga sebagai satu pengiktirafan dunia pada negara. 

“Selain itu, ia juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa. 

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Azfar dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kecemerlangan berterusan,” katanya. 

Azfar memperoleh ijazah Sarjana Sains dalam Hal Ehwal Maritim daripada WMU dalam pengkhususan dalam Pentadbiran Maritim pada tahun 2001 dan ijazah Doktor Falsafah dalam Undang-undang Maritim daripada University of Wales Swansea, United Kingdom pada tahun 2011. 

Beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke Perancis dari tahun 2018 hingga 2021 sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.