252 bekas pekerja kilang Perwaja tuntut tunggakan gaji, pampasan

252 bekas pekerja kilang Perwaja tuntut tunggakan gaji, pampasan

SEBAHAGIAN daripada bekas pekerja Perwaja yang mengadakan perhimpunan menuntut tunggakan gaji dan pampasan di Teluk Kalong, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seramai 252  bekas pekerja kilang Perwaja Steel Sdn. Bhd. (Perwaja) menuntut bekas majikan mereka membayar tunggakan gaji dan pampasan yang belum diterima mereka sejak lapan tahun lalu. 

Wakil bekas pekerja, Hamdan Khalid, 59, berkata, nilai anggaran secara keseluruhan tuntutan dianggarkan berjumlah RM9.4 juta. 

“Sehingga kini kami masih belum menerima apa-apa bayaran daripada syarikat itu meskipun syarikat itu ditutup hujung tahun 2014. 

“Kami hanya mahu hak kami. Selama ini kami setia bekerja lebih 30 tahun dengan syarikat, tak sangka ini pengakhiran kerjaya kami,” katanya yang mengetuai perhimpunan secara aman di hadapan syarikat itu, di Teluk Kalong, di sini, hari ini. 

Menurutnya, pada April lalu, seramai 709 bekas pekerja syarikat itu menerima pampasan dalam majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kami adalah sebahagian bekas pekerja yang masih belum menerima pampasan ini dan kami menuntut hak kami,” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi bekas pekerja, Che Wan Zamri Abu Bakar, 60, dari Taman Perwaja di sini yang cacat penglihatan berkata, dia juga tidak mahu ketinggalan  menyertai demonstrasi ini meskipun terpaksa bergantung kepada rakannya untuk berjalan. 

“Pak cik datang sebab nak tuntut hak pak cik. Selama ini kami masih datang bekerja walaupun tak dapat gaji, kami setia dengan syarikat.

“Ada antara rakan kami yang dah meninggal dunia. Saya harap sebelum menutup mata, saya akan dapat duit pampasan ini. Sekurang-kurangnya boleh saya gunakan wang itu untuk menunaikan haji,” katanya. 

Che Wan Zamri memberitahu, dia yang sebelum ini merupakan juruteknik jentera berat ditukarkan sebagai pengawal keselamatan selepas mengalami gangguan saraf mata. 

Tambahnya, pada masa masa sama, dia juga menanggung keperitan selepas diberhentikan kerana terpaksa menanggung empat daripada tujuh anaknya masih bersekolah ketika itu. 

“Bayangkan, saya ada anak sekolah dan isteri tidak bekerja. Saya terpaksa guna wang simpanan untuk tanggung anak-anak dan bayar rumah setiap bulan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya