21 juta pengundi pilih kerajaan baharu - Utusan Malaysia

21 juta pengundi pilih kerajaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 21,173,638 rakyat Malaysia me­ngundi hari ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi menentukan parti atau gabu­ngan yang mendapat mandat membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Sebanyak 8,958 pusat me­ngun­di dengan 38,348 saluran dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang untuk memberi peluang rakyat memilih.

Bagi melancarkan proses pengundian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menugaskan 363,515 kakitangan di semua pusat pengundian dengan kos PRU15 menelan belanja seba­nyak RM1.01 bilion. PRU15 mencatat sejarah apabila seramai 1.2 juta pengundi 18 hingga 20 tahun ikut serta dalam menentukan kerajaan baharu.

Selain itu, PRU15 merekodkan calon teramai iaitu 945 layak bertanding merebut 222 kerusi parlimen manakala 441 lagi calon merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah.

Bagi kerusi parlimen, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan paling ramai calon 206 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (178), Perikatan Nasional (PN) (149) dan Pejuang (116).
Parti-parti lain Parti Warisan Sabah (Warisan) 52 calon, Gabungan Parti Sarawak (31), Pas (22), Parti Rakyat Malaysia (16) dan Gabungan Rakyat Sabah (13).

Parti Sarawak Bersatu (10), Putra (sembilan), DAP (lapan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tujuh), MUDA (enam), Parti Bangsa Malaysia (lima) dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (tiga).

Malah, pilihan raya umum kali ini turut menyaksikan calon bebas teramai dengan 108 orang.

MAJORITI

Walaupun pemerhati politik menjangkakan tiada parti mendapat majoriti mudah atau sekurang-kurangnya 112 kerusi namun kestabilan negara de­ngan memilih sebuah kerajaan kukuh penting demi masa depan Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, negara memerlukan gabungan politik yang memperoleh lebih 120 kerusi supaya kerajaan itu stabil untuk mengelakkan ketidaktentuan dan krisis meskipun wujudnya akta lompat parti.

Justeru, kata beliau, pe­ngundi perlu membuat pilihan rasional kerana penentuan kali ini perlu berteraskan fakta, manifesto ditawarkan selain kemampuan calon serta parti untuk memajukan rakyat.

“Dengan kekukuhan itu, kerajaan dapat fokus kepada dasar dan inisiatif yang mereka mahu laksanakan terutamanya berkaitan isu ekonomi, kesihatan, kos sara hidup dan inflasi.
“Kita mahu barisan yang bukan saja boleh meletakkan Malaysia ke hadapan, tetapi barisan Kabinet berinte­griti, berkelayakan sesuai dan inklusif,” katanya.

PRU15 diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan pada 10 Oktober lalu.

Selain memilih 222 ahli parlimen, pilihan raya kali ini turut membabitkan tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.

ENAM NEGERI

Enam negeri lain iaitu Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Ne­geri Sembilan, Terengganu dan Kelantan tidak mengikuti langkah Pusat DUN masing-masing.

Dalam pada itu, Jeniri berkata, semua pemilih perlu mengundi untuk memastikan peratusan keluar undi tinggi, sekurang-kurangnya mence­cah lebih 80 peratus supaya kemenangan mana-mana gabu­ngan parti politik itu mewakili suara keseluruhan rakyat negara ini.

“Apa sebab pentingnya supaya suara itu betul-betul representatif, jadi dengan itu dapat menentukan siapa yang lebih berhak untuk berada di Putrajaya. Kita mahu pastikan kerajaan betul-betul mengikut pilihan rakyat, jadi peratusan keluar (undi) harus tinggi, kalau rendah boleh jadi tidak be­tul-betul representatif.

“Nanti mereka (tidak keluar undi) juga yang menyesal apabila hasrat (mereka) tidak tercapai disebabkan hanya (segelintir) yang mahu turun undi,” katanya.

Dalam pada itu, pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, semua parti dan pemimpin politik perlu bersatu hati untuk mengetepikan perbezaan walaupun keputusan PRU15 tidak menyebelahi mereka kerana kepentingan negara perlu diutamakan berbanding agenda dan kepentingan diri sendiri.

Oleh itu, beliau tidak menolak kewujudan kerajaan campuran melibatkan lebih dua parti dan langkah itu dilihat dapat mengubah corak politik Malaysia yang selama ini di­dominasi oleh satu pihak.

Jelasnya, kerajaan campuran bakal mencetuskan dasar yang merangkumi pelbagai aspek apabila dirangka oleh pemimpin daripada pelbagai parti.

“Pada pandangan saya, PRU15 akan berlaku satu pembaharuan di mana mungkin kerajaan terbentuk terdiri daripada parti-parti lain sekali gus dasar-dasar khususnya melibatkan ekonomi digubal kelak akan bersifat nasional dan menyentuh rakyat. Apabila ini berlaku, maka negara kita lebih bergerak ke hadapan dan kerajaan lebih fokus,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya