14 bulan yang stabil, makmur - PM

14 bulan yang stabil, makmur – PM

ISMAIL Sabri Yaakob disambut warga Felda Sungai Siput, Perak dalam program ramah mesra bersama Keluarga Felda Lasah, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh masa seseorang individu itu menjawat jawatan Perdana Menteri tidak boleh dijadikan sebagai ukuran untuk mengukur kebolehannya dalam mengetuai pentadbiran negara.

Biarpun berhadapan dengan ‘cercaan’ pemimpin paling singkat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, apa yang paling penting adalah pencapaian kerajaan yang diterajui beliau sepanjang tempoh 14 bulan mentadbir negara.

Jelas Ismail Sabri, selepas mengambil alih kerajaan dalam keadaan yang disifatkan terlalu sukar, beliau memberikan seluruh fokus dan tenaga untuk menangani wabak Covid-19 yang masih mengganas, situasi ekonomi yang amat teruk dan ketidakstabilan politik.

“Tiga isu ini yang perlu saya fokus. Walaupun saya diberi jangka masa yang pendek tetapi perkara-perkara tersebut dapat diatasi. Covid-19 dapat diturunkan sehingga kita boleh buka semula sektor ekonomi.

“Keadaan politik dapat distabilkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH). Saya lihat perbalahan politik sia-sia sahaja kerana fokus yang patut diberikan oleh kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu Covid-19, dan memulihkan ekonomi.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara (juga) adalah yang terbaik di Asia Tenggara semasa pentadbiran. (Oleh itu), yang penting pengisian sewaktu tempoh tersebut.

“Tempoh masa pendek atau panjang itu tidak penting… Panjang tapi tidak melakukan apa-apa untuk kepentingan rakyat pun tidak ada makna,” kata beliau dalam satu temu bual eksklusif dengan portal Free Malaysia Today, baru-baru ini.

Selepas kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang pada Ogos 2021 membawa kepada pembentukan Kabinet baharu, Ismail Sabri berkata, pentadbirannya menggunakan peluang itu untuk berkhidmat buat kepentingan rakyat.

Meskipun berdepan cabaran terutamanya dalam mengurus kesepakatan parti-parti dalam pimpinannya, kata beliau, pentadbirannya melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Jelasnya, pentadbirannya membelanjakan RM77.7 bilion untuk subsidi pada 2022, menyaksikan peningkatan seganda daripada sebelumnya.

Katany, tindakan itu diambil kerajaan pimpinannya memahami ramai yang masih bergelut walaupun ekonomi dibuka semula.

“Pentadbiran saya juga ambil langkah tegas mengawal harga barang. Permit import (AP) bahan makanan kita mansuh.

“(Kita juga) wujudkan stok simpanan bahan makanan perlu. Kita peruntukan RM1.1 bilion untuk membantu penternak ayam kurangkan harga burung dan telur. Eksport ayam dilarang bagi tempoh tertentu agar bekalan untuk rakyat mencukupi.” katanya.

Bagi membantu isu rumah B40 dan M40, Ismail berkata, kerajaan membelanjakan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang memberi manfaat kepada 9.6 juta rakyat, pertambahan sejuta lebih ramai penerima bantuan berbanding 2021.

“Kerajaan juga belanja RM2.3 bilion untuk bantuan mangsa bencana banjir besar, akhir tahun lepas,” katanya.

Justeru, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO yakin sudah melakukan yang terbaik dalam tempoh pentadbiran yang singkat.

Oleh itu, kerajaan yang diterajuinya membuktikan Ismail Sabri dan Barisan Nasional (BN) boleh mewujudkan kestabilan, kemakmuran, dan penambahbaikan untuk negara seperti yang dijanjikan.

Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri Ke-10 daripada BN sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pada PRU15, BN bertanding di 191 kerusi dan menyasarkan majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas 19 November ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menyerahkan kepada kebijaksanaan lebih 21 juta pengundi untuk menilai prestasi beliau dalam memimpin kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai dapat mengambil kira pentadbirannya adalah kerajaan campuran melibatkan seteru BN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini kerana Ismail Sabri mengingatkan pengundi bahawa Bersatu ditubuhkan pada 2016 adalah untuk memusnahkan UMNO dan BN.

“Bukan senang nak urus kerajaan campuran, terutama yang terdiri daripada pesaing anda,” katanya. Kena ingat UMNO tidak mahu situasi itu.

“UMNO mahu pilihan raya umum diadakan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, tetapi tidak dapat diadakan kerana Covid-19,” katanya.

Ismail Sabri menegaskan, BN bukan penyebab kepada keruntuhan kerajaan PH yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, katanya, keruntuhan itu disebabkan kerjasama pimpinan Bersatu yang diketuai Muhyiddin dengan Pas, kumpulan PKR diketuai, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen UMNO untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional pada Mac 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.