KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) berada antara kedudukan 401 hingga 500 dunia bersandarkan kepada ranking Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) 2022 yang diumumkan semalam.
Angka itu melonjak 200 anak tangga daripada sebelum ini, sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti kedua terbaik dalam kalangan universiti awam dan swasta di Malaysia.
Naib Canselornya, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kedudukan itu juga meletakkan UUM setara dengan University of Denver di Amerika Syarikat, Brunel University di United Kingdom, Victoria University of Wellington di New Zealand dan Murdoch University di Australia.
“Kejayaan itu bermakna UUM kini turut berada di kedudukan 70 universiti terbaik Asia. Peningkatan itu banyak didorong oleh keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategik UUM.
“Antara faktor yang membawa kepada peningkatan ini adalah impak sitasi di samping penyelidikan dan penampakan pengantarabangsaan berikutan peningkatan jumlah pelajar serta staf dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, kejayaan itu juga merupakan hasil kerjasama semua peringkat warga universiti yang banyak menyumbang tenaga serta idea bagi mencapai penarafan antarabangsa terbaik setakat ini.
“Penarafan dibuat THEWUR turut mengambil kira faktor penyelidikan. Sudah tentu penarafan setinggi ini menunjukkan UUM kini berada setara dengan universiti penyelidikan lain di seluruh dunia,” katanya.
Pengiktirafan itu melibatkan 1,779 universiti daripada 104 negara dengan keputusan terkini mengenai kaji selidik THEWUR boleh dilayari di laman web https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/2023/world-ranking. – UTUSAN