Tun M mahu jumpa Anwar - Utusan Malaysia

Tun M mahu jumpa Anwar

Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan beliau mahu jumpa Anwar Ibrahim tawar kerjasama pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikiran macam saya.
“Kalau saya perlu me­mu­­la­kan langkah, saya akan la­kukan. Orang nak kata saya ti­dak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan ke­pada saya.”

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata demikian dalam usaha menawarkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU15.

Menerusi pautan sebuah video di laman sosial, bekas Perdana Menteri itu menekankan supaya parti-parti pembangkang bersatu bagi mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Oleh itu, katanya, beliau sendiri mengetepikan perasaan peribadinya demi menggunakan formula yang sama iaitu penyatuan parti-parti pembangkang pada pilihan raya lalu bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) sekali lagi.

“Yang penting, matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan negara tercapai. Kejatuhan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) tunjuk kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita.

“Telah beberapa kali saya terbaca bahawa saya ini akan terhegeh-hegeh bertemu musuh apabila membuat percaturan politik. Contoh yang kerap digunakan adalah bagaimana saya sanggup jumpa Anwar sampai ke mahkamah sebelum Pilihan Raya Umum 2018 untuk mendapat sokongan daripada Anwar.

EGO

“Bagi saya, perasaan peribadi, bersikap sombong, ego, kepentingan diri tidak ada tempat dengan sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama, bangsa dan tanah air,” kata Dr. Mahathir lagi.

Dalam PRU14 menyaksikan PH yang terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen dan mengikut undang-undang berhak untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah.

Bagaimanapun selepas 22 bulan menerajui kerajaan PH tumbang apabila Bersatu serta sembilan Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Dr. Mahathir.

Gerakan `Langkah Sheraton’ itu dan disokong beberapa Ahli Parlimen BN kemudian menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Dalam video sama, Dr. Mahathir yang mengimbau semula saat bertemu Anwar di mahkamah berkata, ketika itu beliau hanya mempunyai satu tujuan iaitu untuk menjatuhkan BN.

“Semasa saya pergi bertemu dengan Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada dalam fikiran saya adalah cara untuk menyekat Datuk Seri Najib dan kerajaan BN, pimpinannya daripada terus berkuasa.

“Ketika itu, seluruh dunia melaporkan puluhan bilion wang rakyat dirompak dan jika Najib dan kerajaan itu tidak dijatuhkan, pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain dapat terus menyamun.

“Sifir politik ketika itu juga sangat jelas, jika pihak pembangkang tidak bersatu dan tidak bertanding atas pentas yang sama, Najib dan konco-konconya akan terus berkuasa.

“Maka pilihan yang perlu saya buat juga amat mudah untuk mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara, saya perlu bekerjasama dengan bekas musuh-musuh saya yang juga bersetuju perlu menyekat kejahatan tersebut,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN