KUALA TERENGGANU: Tindakan tiga pasang kekasih yang berkelakuan tidak sopan di tempat awam membawa padah apabila ditahan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini.
Kesalahan kesemua enam individu itu yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dikesan dalam Operasi Pemantauan dan Pencegahan Maksiat selama dua hari yang bermula Ahad lalu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah JHEAT, Md Adnan Abdullah berkata, tiga pasangan kekasih itu didapati duduk berdua-duaan terlalu rapat tanpa sebarang ikatan perkahwinan yang sah.
“Oleh itu, mereka diberi notis untuk hadir sesi khidmat nasihat dan kaunseling di Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dalam masa terdekat.
“Ini adalah langkah pencegahan yang diambil JHEAT untuk mengelak perkara itu berulang lagi pada masa akan datang.
“Arahan tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (2001) Terengganu iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Seramai 20 anggota Bahagian Penguatkuasaan JHEAT dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Daerah Kuala Terengganu dan pegawai penguat kuasa syariah terlibat dalam operasi itu yang bermula pukul 9 malam hingga 3 pagi.
Tambahnya, jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“JHEAT sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke semasa dan operasi cegah maksiat ini diperhebatkan lagi pada musim cuti perayaan atau cuti umum kerana kebiasaannya, ramai yang mengambil kesempatan untuk bersiar-siar ketika itu,” katanya. –UTUSAN