SEREMBAN: Tawaran tender dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan bagi mengeluarkan kayu balak dalam Hutan Simpanan Kekal negeri ini seperti yang diiklankan pada 5 Oktober lalu adalah tidak bercanggah dengan dasar kerajaan negeri iaitu tiada sebarang kelulusan baharu bagi aktiviti pengusahasilan dalam hutan simpanan kekal.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebaliknya berkata, tawaran tender berkenaan adalah untuk memberi laluan kepada projek pembinaan jalan yang akan memberi manfaat dan faedah kepada masyarakat khususnya rakyat Negeri Sembilan.
Jelas beliau, projek berkenaan adalah projek kerajaan Persekutuan bagi membina jalan baharu dari Kampung Gagu (Jelebu) – Ulu Beranang (Lenggeng) sepanjang 14 kilometer dan ia diluluskan oleh kerajaan terdahulu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
“Pendengaran awam diadakan di Jelebu pada 1 Mac 2021 yang dibentangkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihak berkepentingan. Hasil daripada pendengaran awam ini dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 10 Mac 2021 untuk mendapatkan kelulusan.
“Kerajaan Negeri melalui surat kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyatakan persetujuan untuk meneruskan pelaksanaan projek tersebut hasil daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 17 Februari 2021 dan 10 Mac 2021.
“Ia setelah mengambil kira semua aspek dan komponen berdasarkan maklumat, perincian dan ulasan daripada agensi berkaitan serta hasil dapatan sesi pendengaran awam yang dibuat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.
Peka mendakwa kecewa terhadap pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang membuka tender membalak dalam kawasan hutan simpan kekal di negeri ini dan sepatutnya melindungi khazanah alam negeri.
NGO itu malah menambah, Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dikatakan hipokrit kerana membiarkan pembalakan berlaku di negeri pentadbiran mereka.
Aminuddin dalam pada itu berkata, kerajaan negeri memaklumkan agar projek jalan baharu itu perlu mengambil kira pandangan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan berhubung keperluan laluan hidupan liar dan alam sekitar.
Jelas beliau, susulan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan memaklumkan kepada pihak JKR Negeri Sembilan mengenai beberapa pandangan dan syor.
Ia antara kerja pengeluaran kayu dari kawasan terlibat iaitu seluas lebih 94.66 hektar di Hutan Simpan Kekal Gapau dan Lenggeng akan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan bagi tujuan kawalan dan dilaksanakan secara tender terbuka selaras dengan dasar kerajaan negeri.
“Beberapa siri perbincangan diadakan di antara agensi teknikal seperti JKR, Jabatan Perhutanan, Perhilitan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kemajuan Orang Asli sepanjang tempoh selepas kelulusan Kerajaan Negeri pada 15 Mac 2021 sehingga pengiklanan tender pada 5 Oktober 2022.
“Ia bagi memastikan pembukaan kawasan hutan untuk pembinaan jalan ini memenuhi keperluan dan peraturan semasa yang berkaitan dengan alam sekitar,” tambah Menteri Besar lagi. –UTUSAN