PETALING JAYA: Ketiadaan Akta Pendanaan Politik menyukarkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat laporan penyelewengan perbelanjaan calon dan parti bertanding semasa kempen pilihan raya.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana akta diperlukan untuk mana-mana pihak berkuasa membuka kertas siasatan berhubung laporan sumbangan politik diterima.
“Kalau ada individu membuat laporan sama ada kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka pihak berwajib perlu membuat siasatan, jadi kalau mahu buat siasatan kena ada akta.
“Tetapi apabila tidak ada akta jadi masalah untuk buka kertas siasatan melainkan di bawah akta rasuah, namun itu terserah kepada agensi terlibat yang menerima laporan itu.
“Jadi sebab itu kita mahu sangat akta berkaitan sumbangan politik ini (terutamanya) kalau kita dapat tahu mana-mana parti atau calon menerima sumbangan dana untuk tujuan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Rang Undang-Undang (RUU) bagi Akta Pendanaan politik dijangka dibentangkan pada akhir sidang Parlimen yang dijadual pada Oktober.
Bagaimanapun, ia tidak dapat direalisasikan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada 10 Oktober lalu.
MoU
RUU tersebut merupakan antara perkara yang disepakati dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang dimeterai September lalu.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, calon yang bertanding tiada pilihan selain memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah selepas keputusan rasmi.
Beliau berkata, ini kerana ia tetap menjadi tanggungjawab semua parti politik yang bertanding menentang satu sama lain memantau calon parti yang disyaki menggunakan dana keterlaluan dalam tempoh berkempen.
“Masih ada ruang untuk parti dan calon memantau apa-apa aktiviti yang disyaki melibatkan aktiviti beli undi dan politik wang dan perkara itu termaktub dalam Perlembagaan.
“Ada peruntukan khas memberi ruang kepada calon yang kalah dan pengundi dalam satu-satu kawasan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah sekiranya cukup bukti berkaitan penyelewengan.
“Petisyen itu boleh difailkan dalam tempoh 30 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan, dalam tempoh 30 hari orang boleh fail petisyen PRU.
“Jadi, itu saja pilihan terakhir bagi sesiapa yang tidak berpuas hati dengan pengurusan pilihan raya, perjalanan pilihan raya, mengesyaki penyalah gunaan kuasa dan penglibatan dalam rasuah,” jelasnya.- UTUSAN










